Tular di laman sosial mengenai kisah seorang suami menghadiahkan sebuah reban ayam sempena ulang tahun kelahiran isterinya kerana tidak boleh ke mana-mana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohd Nazri Ismail, 40-an, berkata, pada tahun ini dia mahu memberi kelainan dan turut membuat kek sendiri sempena hari lahir isterinya, Rashidah A Rahman.
Mohd Nazri yang tinggal di Felda Sungai Koyan Dua, Raub Pahang mengatakan kedudukan rumahnya agak jauh dari bandar.
Hari ni besday wife Saya. Sebab kedai byk yg tutup dan kami duduk kg. Jadi hadiah besday tahun ni ialah reban ayam Dan kek buat sendiri.. lilin pon Tak cukup satu heheh.Happy birthday syg.#StayAtHome @NajibRazak #DudukRumah #DudukRumahChallenge @MuhyiddinYassin @drzul_albakri pic.twitter.com/Faazt8PfiF
— Mohd Nazri Bin Ismail (@MohdNazriBinIs4) April 13, 2020
“Nak beli hadiah lain memang tak boleh kerana PKP. Kami duduk kampung jauh nak pergi ke bandar. Lagipun tak boleh keluar.
Jadi saya bercadang buat reban ayam baru untuk isteri. Lagipun dia suka bela binatang seperti ayam, puyuh dan itik. Maka tahun ini, hadiah hari lahir lebih unik daripada tahun sebelumnya,” katanya.
Terdahulu, kisah pasangan ini yang tular di media sosial menarik perhatian ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Kesungguhan menzahirkan kasih itulah hadiah yang paling berharga. Moga berbahagia hingga ke syurga. https://t.co/aGPeZxBva4
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (@drzul_albakri) April 13, 2020
Zulkifli menyifatkan kesungguhan menzahirkan kasih itulah hadiah yang paling berharga dan mendoakan pasangan ini berbahagia hingga ke syurga.
Mohd Nazri yang bertugas di kapal dagang berpangkalan di Dubai berkata, dia tidak kekok untuk memasak kerana ketika berada di atas kapal, sudah biasa berbuat sedemikian.
Selain memasak, sepanjang aktiviti PKP, Mohd Nazri juga akan berkebun dan membawa bapa mentua ke klinik kesihatan untuk menjalani rawatan dialisis.
Menurut Mohd Nazri, dia sepatutnya berada di Cairo atas tuntutan kerja bagaimanapun pada hematnya keluarga lebih penting semasa PKP dan rezeki boleh dicari.