Lokasi yang dikenali sebagai ‘Kampung Lemang’ di Manek Urai, Kuala Krai di Kelantan biasanya meriah dengan sambutan jualan lemang di gerai-gerai tepi jalan dengan kepulangan perantau ke Kelantan.
Namun, situasi tahun ini tidak sedemikian apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan oleh pihak berkuasa dan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sekatan itu dikenakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.
Peniaga lemang, Shahzana Eleza Jusoh, 40, yang berniaga lemang bersama suaminya, Ismalil Hassan, 43, di Kampung Lepan Jenut, Kuala Krai, berkata perniagaan lemang jatuh merudum tahun ini.
“Perbezaan dari segi suasana dan sambutan amat terasa. Saya rasa sedih kerana tidak mendapat sambutan seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Seperti tahun-tahun sebelum Covid-19, jika perantau dapat balik, jualan dapat terjual sehingga 500 batang lemang dengan purata pendapatan RM2,500 sehari dalam beberapa hari menjelang raya.
“Tapi, jika lihat hari ini, setakat petang ini, lemang yang terjual tidak lebih daripada 20 batang,”katanya.
Bagaimanapun, dia turut mengakui sambutan lemang tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelum penularan wabak Covid-19 lebih-lebih lagi tanpa kehadiran perantau.
“Jika sebelum Covid-19, dalam jualan seminggu sebelum raya dengan kehadiran perantau, jualan sehari boleh mencecah RM1000 hingga RM1500 untung kasar.
“Tetapi, dalam waktu Covid-19 ini, jika tidak mengambil kira tempahan daripada pelanggan tetap, menerusi jualan biasa sehari-hari, saya hanya mampu mendapat untung dalam RM200 sehari bersamaan lapan kilogram (kg) lemang. Banyak perbezaan di situ.
“Saya berharap, Covid-19 ini akan berlalu pergi dengan segera supaya kami, peniaga-peniaga lemang di sini mendapat kemeriahan dan sambutan seperti tahun-tahun tanpa wabak Covid-19 ini menular,” katanya.
sumber: Malaysiakini