Lokasi sabung ayam kembali aktif di Kuala Krai.Seramai tujuh orang lelaki dicekup sewaktu mereka sedang leka menyabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit yang sudah diserbu polis enam bulan lalu di Kampung Pok Jelak Bedal di sini Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, polis menahan kesemua suspek berusia antara 27 hingga 76 tahun bersama 33 ekor ayam laga yang digunakan oleh mereka dalam aktiviti tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suprintendan Suzaimi Mohamed berkata, polis menjalankan serbuan di lokasi itu selepas menerima maklumat berhubung kegiatan terbabit di kawasan berkenaan.
Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk kelambu, taji, 33 kotak kayu dan satu bekas plastik.
“Selain itu, polis turut menjumpai wang tunai sebanyak RM7,911 yang dipercayai digunakan sebagai wang pertaruhan.
“Siasatan mendapati, kawasan ladang kelapa sawit yang menjadi tempat mereka berjudi itu terletak kira-kira empat kilometer dari jalan utama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Suzaimi berkata, kesemua suspek masing-masing berasal dari Kuala Krai, Machang dan Pasir Puteh telah dibebaskan dengan jamin polis.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952