Allahurabbi , meleleh airmata tatkala membaca apatah lagi jika berada di situasi tersebut .Itulah yang dikatakan ilmu, Tidak semestinya kaya harta, sudah memadai untuk kehidupan seterusnya . Bayangkanlah pendidikan agama tiada , hurmmmm .. sedih dan sadisnya .. Allah
Hari yang cukup meletihkan. Menyakitkan. Memeritkan. Empat jam penuh debaran dan bergelut dengan nyawa akhirnya disudahkan dengan tangisan. Tangisan seorang bayi lelaki. Tangisan kegembiraan diri sendiri juga. Suami di sisi juga mengalirkan air mata. Anak sulung kami.
Ajaib. Terasa hilang seketika seluruh kesakitan melahirkan tadi tatkala melihat bayi lelaki yang masih kemerahan kulit badannya di depan mataku sendiri.
Bayi yang baru lahir di ibaratkan kain putih tanpa sebarang dosa. Alhamdulillah. Syukur yang tak terhingga. Jururawat membawa anak sulungku itu ke sisiku.
Ku kucup pipinya yang comel. Bayi yang tengah menangis tadi mereda tangisannya. Mungkin mengenali aku ini ibunya. “Mama dan abah tunggu kamu sembilan bulan, tau.”
Bergenang air mataku sekali lagi mengingatkan peritnya dan besarnya dugaan selama mengandungkan anak pertama. Dengan pelbagai ragam diri sendiri, asyik nak muntah, cepat sensitif, cepat nangis, cepat marah, asyik nak pitam pening kepala. Tuhan sajalah yang tahu. Nasib baik dapat suami yang memahami.
Kami bernikah tahun lepas. Terus bunting pelamin. Suamiku orang biasa saja. Bukan ‘suamiku ustaz’ bagai tu semua. Taklah kaya. Cukuplah apa adanya. Cukup ada rumah sewa untuk didiami, cukup makan pakai sekadarnya.
Aku pun biasa-biasa. Macam orang keramaian saja. Tudung pun tak betul lagi. Suamiku kata, ‘nanti awak dah ready, pakailah betul-betul.’ Dia sendiri pun masih dengan seluar pendeknya bila keluar dari rumah. Aku pernah tegur. Dia kata, dia pun tak ready lagi. Sama macam aku tak ready.
Jururawat dah selesai mencuci bersih anak kami, berbungkus selimut. Dah wangi-wangi. Menyerahkannya kepada kami. Doktor pun sudah menyelesaikan tugasnya, cuci luka dan sebagainya yang berkaitan. Aku dipindahkan ke katil dan wad lain yang telah siap disediakan.
Mertuaku dan ayah mak dah ada di sisi. Semua orang ada. Dengan muka gembira. Yang tua, happy dapat timang cucu. Aku dan suami happy dengan orang baru dalam keluarga kami. Dipeluk cium bayiku yang comel tu.
“Azankanlah di telinga budak tu.”
Ibuku bersuara. Diserahkan bayi dalam dakapannya tadi kepada suamiku.
Suamiku menyambutnya dengan cermat. “Kena azan ke?” Suami bertanya. “Wajib eh?”Doktor lelaki yang ada di situ mencelah.
“Ustaz Zahazan kata, apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.”
Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.”
Suamiku terdiam seketika. Maafkan abah kerana abah tak reti nak azan,abah hanya tahu main je depan tv game bola. Dalam 10 minit dia diam. Ibu bapaku dah rasa pelik. Dah kenapa pula dengan menantunya itu.
Tiba-tiba suamiku itu menangis. Menitiskan air matanya. Jatuh menitik ke muka anak kami.
“Maafkan abah. Abah tak pandai nak azan. Sungguh, abah tak reti.” Aku sebak. Ibu bapaku terkejut sedikit. Namun, tenang saja. Mentuaku nampak seakan dah tahu.
“Abah tak jujur pada mama kamu. Bila masuk waktu solat, abah kata nak pergi masjid. Tapi, sebenarnya abah tak pergi pun.
Abah keluar lepak dengan kawan-kawan. Abah tak pernah jadi imam di rumah untuk mama kamu. Apatah lagi mengajar mama Al-Quran. Abah tak reti. Maafkan abah. Maafkan abah.”
Suamiku itu terus menangis sambil mendakap anak lelaki sulungnya itu. Anak itu tidak pula menangis. Seakan-akan memahami ayahnya sedih. “Maafkan saya, ma, abah. Maafkan saya.”
Suamiku itu meminta maaf dengan parentsku dan mentuaku. Aku turut menitiskan air mata. Selama ini, suamiku itu tak pernah macam hari ni.“Takpe. Biar ayah saja azankan. Tapi, janji dengan ayah dan mak, lepas ni kamu berdua kena sama-sama pergi belajar agama. Kamu suami adalah pemimpin keluarga.
Baiki diri. Jangan selesa dengan perangai zaman bujang. Dah tak sama dengan zaman berkeluarga. Dekatkan diri dengan Allah. Kamu yang akan bawa anak dan isteri kamu kepada Syurga Allah. Kita keturunan Nabi Adam dan Hawa yang berasal dari Syurga. Kampung asal kita di sana. Kita tak nak balik ke kampung yang satu lagi tu.”
Suamiku bangun dan memeluk ayahku, memeluk ayahnya. Berjanji akan berubah sepenuh hati. Menangis-nangis menyesal dan insaf.Syukur. Anak yang baru lahir itu adalah pencetus hidayah Allah kepada suami dan aku sendiri.
Aku tersenyum dalam tangisan. Moga semua lelaki di dunia ini persiapkan diri dengan agama sebelum berkeluarga. Jangan diharap pada si isteri yang kena merubah suami.
Mohon sayangi isteri dan suami masing-masing walaupun tidak sempurna sikapnya, soleh atau solehahnya. Allah dah satukan kamu berdua kerana Dia tahu pilihan-Nya terbaik. Sama-sama berubah ke arah lebih baik.
**
Kisah benar ini diceritakan oleh kawan penulis Muhammad Rusydi. Moga Allah reda.