Mak Iti tak boleh bercakap tapi pandai sebut ‘La Ilaha Ilallah’

Posted on

“Dia tidak boleh bercakap tetapi pandai menyebut La Ilaha Illallah.” Demikian kata ibu kepada seorang gadis yang tidak mampu bertutur akibat hiper autisme dihidapinya.

Raihanah Mat Jusoh, 56, berkata, hanya kalimah tersebut sering disebut anaknya, Siti Nuratikah Rosly Mohamed, 20, terutama apabila berdepan masalah kesihatan.

“Kalimah itu sentiasa diulang-ulang terutama ketika dia sakit,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Seterpa, Peringat di sini hari ini.

Anak kelapan daripada 11 adik-beradik tersebut dikesan menghidap hiper autisme sejak berusia dua tahun ketika dia pada asalnya menjalani rawatan akibat masalah membuang air besar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Raihanah berkata, sejak mengetahui penyakit tersebut, pelbagai ikhtiar dilakukannya sama ada perubatan moden atau tradisional, selain turut membawanya menjalani terapi menunggang kuda serta renang di bawah bantuan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

“Pada usia 10 tahun barulah dia boleh duduk dan hingga sekarang hanya mampu mengengsot badannya di lantai untuk bergerak.

“Dia memakai lampin pakai buang manakala keperluannya pula perlu diuruskan orang lain,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Siti Nuratikah yang turut dikenali sebagai Mak Iti sering menumbuk muka sendiri malah kerap kali menghantukkan kepalanya ke lantai dan dinding rumah.

Katanya, kelakuan menyakitkan diri sendiri itu kerap kali dilakukan tanpa sebab malahan akan lebih teruk jika dia tidak berpuas hati atau menginginkan sesuatu seperti meminta dibawa keluar bersiar-siar.

Raihanah berkata, dalam tempoh sehari, anaknya itu perlu dibawa ‘makan angin’ dengan menaiki kereta atau motosikal ke mana-mana sahaja antara empat hingga lima kali.

“Pada waktu malam pula, kadang-kala dia tidak tidur sehingga lewat malam sebaliknya menangis dan merengek-rengek seperti seorang bayi.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ragamnya makin menjadi-jadi kerana tidak boleh keluar bersiar-siar tetapi baru-baru ini sudah pulih sedikit apabila mendapat kebenaran keluar berdua dan sekarang lebih lega kerana sudah boleh keluar untuk melunaskan keinginannya itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Raihanah yang berniaga karipap turut berdepan cabaran membesarkan anak autisme termasuk tidak terlepas daripada pandangan serong masyarakat, namun memberitahu sudah lali dengan cemuhan segelintir pihak, selain mengakui ada juga yang mengeluarkan kata-kata menyinggung perasaannya sebagai seorang ibu.

“Bohonglah kalau saya tidak pernah berasa sedih dengan ujian ALLAH ini tetapi menjaga anak syurga sebegini membuatkan rezeki kami sekeluarga melimpah ruah, malah mulutnya yang selalu menyebut kalimah suci ‘La Ilaha Illallah’ itu sudah memberikan ganjaran pahala yang amat besar kepada saya sendiri.

“Saya hanya harapkan anak-anak yang lain terus membantu menjaga, menguruskan dan menyayangi Mak Iti dengan sepenuh hati selagi hayatnya masih ada,” katanya sayu.

Siti Nuratikah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN 03003-41-00000012-1.

sumber : sinar harian

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.