Menarik untuk pengguna Apple apabila pengeluar barangan elektronik terkemuka, Apple hari ini melancarkan fon kepala, AirPods Max sekali gus melengkapkan produk audio keluaran syarikat itu.
Sehingga kini, produk audio keluaran Apple adalah Airpods dan AirPods Pro yang mendapat maklum balas paling positif dalam kalangan pengguna.
Kali ini, AirPods Max diperkenalkan dengan pelbagai ciri khusus terutamanya pembatalan hingar yang sebelum ini sangat cemerlang untuk AirPods Pro.
Ia juga adalah fon kepala pertama keluaran Apple yang didatangkan dengan cip Apple H1 termasuk ciri khusus seperti mod ‘transparency’, Audio Spatial dan penyamaan adaptif khusus untuk pengguna.
Menerusi pengenalan AirPods Max berkenaan juga, Apple menjanjikan bahawa kualiti penghasilan bunyi untuk produk itu adalah seumpama kesan bunyi di teater.
Peranti audio berkenaan turut menerima integrasi ‘Digital Crown’ daripada peranti boleh pakai, Apple Watch dan pengguna boleh melakukan pengawalan bunyi dengan mudah.
Digital Crown berkenaan membolehkan pengguna untuk memainkan atau menghentikan bunyi, melajukan trek audio, mengambil panggilan telefon serta mengaktifkan Siri.
AirPods Max menjanjikan pengalaman audio yang sangat baik terutamanya penghasilan bunyi bass, ketajaman audio skala sederhana termasuk bunyi gemersik.
Tanda harga untuk AirPods Max adalah RM2,399 dan pengguna boleh membuat pesanan tidak lama lagi menerusi aplikasi Apple Store.