Persatuan penggunting rambut India, Penang Maruthuvar Sangam, memohon kerajaan Persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang menyediakan bantuan kewangan khusus untuk tukang gunting rambut yang terjejas teruk sejak penularan pandemik COVID-19.
Pengerusinya, M. Tamilmany berkata setakat ini tiada bantuan khas disediakan untuk golongan itu dan rata-rata pemilik premis gunting rambut kehilangan punca pendapatan kerana kedai tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Di Pulau Pinang ada lebih kurang 150 kedai gunting rambut melibatkan kira-kira 450 tukang gunting rambut. Kehidupan kami terjejas teruk. Sudah lebih dua bulan kedai tidak dibuka dan kami tidak mempunyai pendapatan bulanan. Kami kehilangan punca pendapatan antara RM2,000 ke RM3,000 sebulan.
“Ada di antara kami yang hanya mendapat upah apabila bekerja sahaja. Kebanyakan tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian dan ada di antara mereka yang dibayar komisen mengikut bilangan orang yang mereka telah gunting rambut,” katanya kepada Bernama.
Berikutan itu, beliau berkata pihaknya akan menghantar surat kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk memohon bantuan kewangan daripada kerajaan negeri hari ini.
Sementara itu, Bendahari persatuan itu V. Tharmaraj meminta kerajaan memberi kebenaran kepada pemilik premis gunting rambut terutamanya di kawasan zon hijau untuk membuka semula operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata pemilik premis akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPB yang telah ditetapkan dan rata-rata pemilik premis juga telah bersedia untuk beroperasi semula.
“Untuk peringkat permulaan ini, saya mencadangkan kerajaan hanya benarkan untuk perkhidmatan gunting rambut sahaja. Ini kerana ramai pelanggan yang meminta kami pergi ke rumah untuk gunting rambut tapi kami tidak boleh melaksanakannya kerana mematuhi arahan PKP.
“Kami bersedia untuk mengikuti SOP yang telah ditetapkan seperti menjaga jarak sosial, menggunakan pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, melakukan disinfeksi harian premis dan sebagainya. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini,” katanya yang berkhidmat sebagai tukang gunting rambut selama 18 tahun.
Sumber: BERNAMA