“Norman Hakim & Memey Suhaiza Memang Dicipta Untuk Bersama”

Posted on

Hubungan baik diantara Norman Hakim dan Abby Abadi bukanlah sesuatu yang baru, walaupun masing-masing sudah mempunyai kehidupan lain. Terbaru Norman bersama isteri, Memey Suhaiza telah membuat kejutan buat Abby sempena ulangtahun perkahwinan bekas isterinya.

Menerusi Instagram, Abby telah berkongsikan video dimana Norman hadir bersama isteri sambil membawa sebiji kek dan membuat kejutan itu sekaligus meraikan ulangtahun perkahwinan kali kedua mereka. Apa yang menarik perhatian adalah ucapan Abby buat bekas suaminya.

“Terima Kasih ‘Cinta’ untuk segalanya. Kau berikan lagi kesempatan ini. Saya malu dan tak suka diraikan. Mohon Norman dan Memey jangan buat lagi. Apapun Oman dan Memey memang diciptakan untuk bersama. Saya pinjam dulu sebab masa tu Memey kecil lagi,” tulisnya menerusi Instagram.

Rata-rata kenyataan itu telah menimbulkan reaksi terharu di kalangan peminat apabila melihat hubungan akrab diantara mereka biarpun sudah berpisah. Ramai yang memenuhi ruangan komen, mendoakan kebahagiaan buat Abby dan suami serta Norman dan isteri agar bahagia berpanjangan.

Kalau tidak silap ketika Abby mengalami keguguran sebelum ini juga, Norman hadir memberikan kata-kata semangat serta sokongan buat bekas isterinya. Terharu pula melihat bagaimana mereka menjaga hubungan biarpun sudah tidak bersama, semoga ianya menjadi inspirasi buat orang lain.