Pelancong domestik pilih Kelantan

Posted on

KUALA KRAI – Kelantan menjadi destinasi tumpuan pelancong domestik pada peringkat pertama tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana aneka juadah yang enak dan segalanya boleh didapati dengan harga murah di negeri ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, berdasarkan maklumat Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang diukur dari kadar penghunian purata (AOR) mendapati penginapan pelancong di hotel-hotel di Kelantan paling ramai bermula pada pertengahan Jun lalu.

“AOR menunjukkan peningkatan bermula sebulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan. Makanan yang sedap dan segalanya berharga murah di Kelantan menjadi penyumbang utama.

“Selain banyak destinasi menarik boleh dikunjungi di negeri ini serta faktor cuti persekolahan juga, moratorium yang dilaksanakan antara sebab kemasukan ramai pelancong,” katanya ketika ditemui pada Travelog Jelajah Destinasi Pelancongan Kelantan di Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, Jelawang, Dabong di sini.

Beliau berkata, MOTAC memberi tumpuan kepada kluster ekopelancongan Kelantan di tiga jajaran iaitu pesisir pantai, luar bandar dan jajaran jalan utama bermula dari Lojing, Gua Musang sehingga Taman Negara, Kuala Krai.

“Jajaran persisir pantai bermula Pantai Geting, Pantai Tujoh, Pantai Mek Mas, Pantai Kundur, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Senak sehingga ke Pantai Sabak.

“Jajaran luar bandar bermula dari Lebuhraya Timur Barat-Jeli menuju ke Jelawang, Kuala Krai,” katanya.

Tambah beliau, banyak lokasi dikenal pasti mampu memberi tarikan kepada pengunjung seperti di Kuala Krai terdapat air terjun yang diiktiraf tertinggi di Asia Tenggara iaitu Air Terjun Jelawang, Gunung Stong dan Kompleks Gua Ikan di Dabong.

“Pertumbuhan inap desa, resort juga meningkat serta terbaharu Jelawang Pipe Resort & Extreme Park diusahakan pasangan anak muda turut menyediakan perkhidmatan aktiviti lasak seperti menunggang kenderaan pelbagai permukaan (ATV) melalui trek kelapa sawit menuju air terjun berketinggian 303 meter itu.

“Pemain industri pelancongan juga seharusnya sentiasa bersedia untuk menerima pengunjung bukan saja domestik malah antarabangsa yang bertali arus mengunjungi destinasi itu seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.