Industri pelancongan di Kelantan mengalami kerugian mencecah RM2.6 bilion ekoran penyusutan jumlah lebih 2.5 juta pelawat sepanjang tahun lalu akibat penularan jangkitan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Ab Rahman berkata, angka itu merupakan statistik terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan.
“Pandemik menyebabkan pelancong yang masuk ke negeri ini berkurangan akibat pergerakan yang dihadkan dan ia memberi impak besar kepada pelancongan.
“Kerugian dialami industri pelancongan di seluruh negara seperti dianggarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pula dilaporkan mencecah 45 bilion tahun lalu,” katanya.
Md. Anizam berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Syahbuddin Hashim (UMNO-Galas) berkaitan impak pandemik Covid-19 terhadap pelancongan negeri pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Md. Anizam berkata, kerajaan telah mengatur beberapa bantuan kepada pemain industri membabitkan peruntukan sebanyak RM724,750.
sumber: Kosmo Online