Pemain naturalisasi bukan adiwira

Posted on

SEJAK seminggu lalu, berita mengenai betapa hambarnya prestasi pemain-pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya terpampang di dada akhbar nasional serta media sosial.

Situasi ini berlaku selepas menyaksikan skuad bola sepak negara kendalian Tan Cheng Hoe terkulai layu apabila ditewaskan 0-4 dalam aksi Kumpulan G saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Sabtu lepas.

Kekalahan sememangnya keputusan yang boleh diterima dan dijangka penyokong, namun apa yang disaksikan di atas padang ternyata berbeza.

Sebagai rekod, skuad negara baharu memberikan kerakyatan buat dua pemain import yang sudah lama beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) iaitu Liridon Krasniqi dari Kosovo dan Guilherme de Paula (Brazil).

Kedua-dua pemain ini telah melengkapkan senarai tiga pemain naturalisasi negara termasuk Mohamadou Sumareh yang diletakkan dalam senarai 26 pemain untuk membawa misi negara di Dubai, UAE ketika ini.

Namun, ketiga-tiga pemain itu tidak mempamerkan aksi yang memberangsangkan.

Mungkin apa yang dipamerkan oleh Sumareh boleh dimaafkan berdasarkan reputasinya cemerlang ketika mewakili negara pada 2018 sehingga 2019 dan mungkin ketika ini agak bergelut dengan prestasi atau kecergasan.

Namun, situasi berbeza buat Liridon dan De Paula yang dilihat mempamerkan aksi ‘malas’ dan tidak bertenaga di atas padang.

Setiap kritikan haruslah berlapikkan dengan fakta dan program naturalisasi negara ini mempunyai dua fasa yang singkat serta panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menganggap faktor masa yang singkat bersama skuad kebangsaan punca Liridon dan De Paula gagal memberikan persembahan diharapkan.

Malah, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM turut me­ngakui proses penilaian pemain naturalisasi akan lebih diperketatkan selepas ini.

“Saya tidak anggap naturalisasi pemain ini gagal. Kalau kita lihat kemunculan Sumareh dalam pasukan kebangsaan, dia pun agak bergelut pada awalnya.

“Cuma, saya berpendapat masa tidak mencukupi kerana kedua-dua pemain ini hanya bersama pada pada Mac lepas.

“Tetapi, saya akui pada masa akan datang jika kita ada ba­nyak pilihan, kriteria pemilihan pemain itu akan diperketat de­ngan hanya pemain yang kita fikir boleh bantu pasukan atau berkualiti akan diserap,” katanya.

Sementara itu, bekas penye­rang kebangsaan yang kini ber­aksi dengan Kuala Lumpur City (KL City), Safee Sali turut meluahkan kekecewaannya selepas menyaksikan aksi longlai pemain naturalisasi negara.

“Boleh saya katakan, kita semua hanya terpedaya dengan skuad dan projek naturalisasi membuatkan kita semua percaya dan meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

“Saya yakin para pemain tempatan kita jika diberi peluang dan kepercayaan, pasukan kita boleh menang dan bermain mati-ma­tian untuk nama negara. Sekarang bukan masa untuk angkat bendera putih, masih ada pe­luang,” katanya.

Benar, peluang masih ada kerana skuad Harimau Malaya akan menentang Vietnam pada te­ngah malam ini dan Thailand pada Rabu depan dengan hanya keputusan positif boleh menentukan nasib skuad negara.

Apa yang penting penyokong perlu terapkan dalam minda bahawa pemain naturalisasi bukanlah adiwira kerana mereka juga manusia biasa. Teruskan perjuangan!

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.