Disoal Wany Hasrita sebab memadamkan kenyataannya sebelum ini, Fathia Latiff menjelaskan pendiriannya tetap sama dan beliau berhak untuk bersuara menyatakan pendapatnya mengenai kemenangan Wany merangkul Anugerah Bintang Paling Popular (ABPBH31) Ahad lalu.
Jelas Fathia lagi, beliau tidak mempunyai masalah dengan penyanyi tersebut, dan pendapat yang dinyatakan hanyalah pandangan peribadinya sahaja. Tegas Fathia, ramai lagi selebriti popular yang lebih layak untuk menang.
“Saya berhak untuk bersuara dan berhak memberi pandangan mengenai kemenangan Wany sebagai Bintang Paling Popular. Sejujurnya, saya tidak ada masalah atau bergaduh dengan dia. Cuma, dia belum lagi layak untuk menang”
“Dan saya tidak berpuas hati dengan sistem keputusan pada malam itu sebab masih ramai lagi selebriti yang dah lama dalam industri ini lebih terkenal daripada dia. Saya padam kenyataan itu kerana berfikiran saya perlu menghormati peminat-peminat Wany”
“Selain itu, saya tak nak foto di Instagram saya kurang cantik dengan adanya posting tersebut. Tapi walaupun saya dah padam, saya tetap dengan pendirian yang Wany memang tidak layak untuk memenangi anugerah tersebut,” katanya.
Terdahulu, Fathia memuat naik gambar Wany di laman sosialnya dan menyatakan penyanyi itu tidak layak menang anugerah terbabit. Namun kemudian memadamnya. Manakala Wany pula mendakwa Fathia tidak tetap pendirian kerana memadamkan kenyataan itu.