Susulan kontroversi rumah tangga terdahulu, ramai tertanya-tanya mengenai status Bella Astillah dan suami, Aliff Aziz. Terdahulu, Bella mendedahkan mereka sudah hampir sebulan tinggal berasingan dan kini dalam tempoh bertenang.
Hampir dua bulan kemelut berlalu, Bella mengakui masih belum menemui jalan penyelesaian. Katanya lagi, dia juga tidak mempunyai jawapan pasti tentang perasannya ketika ini, namun dia akan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya.
“Sejak dahulu saya pernah berkata, kalau berkahwin saya mahu lelaki itu akan jadi suami pertama dan terakhir buat saya. Saya sedar ramai yang ingin tahu tentang status sebenar saya dan Aliff buat masa ini.
“Jadi perceraian adalah jalan terakhir yang akan saya lakukan. Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana keutamaan saya adalah anak. Saya tidak mahu anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah kandung.
“Malah dalam keluarga saya sendiri belum ada yang melalui episod perceraian, jadi saya berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan perkara itu,” katanya kepada Kosmo!
Enggan terlalu memikirkan soal rumah tangganya, Bella menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan takdir. Ujar Bella lagi, meskipun tidak lagi tinggal sebumbung, namun mereka tetap berhubung dan berjumpa demi anak.
“Buat masa ini, saya malas untuk fikirkan soal itu dan hanya menyerahkan kepada arah aliran hidup. Saya juga sudah beberapa kali buat solat istikharah tetapi apa yang boleh dikatakan, saya tawakal dengan perkara ini.
“Orang di luar boleh bercakap apa sahaja tetapi pokok pangkalnya, dalam hal ini ia terletak di tangan saya untuk menentukan segala-galanya,” katanya
sumber : rotikaya