Bila bercakap tentang cantik, ramai beranggapan cantik itu diukur dengan melihat kepada rupa paras, berkulit putih, hidung mancung, kurus, tinggi dan sebagainya. Boleh dikatakan, wanita sekarang terlalu taksub untuk memiliki kulit putih kerana bagi mereka kulit putih itu lebih cantik.
Bagaimanapun, berbeza bagi isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Yang Mulia Che Puan Khaleeda yang berpendapat setiap wanita mempunyai kecantikan mereka tersendiri dan apa yang paling penting adalah hati yang baik.
“Sewaktu membesar, saya sering diberitahu yang saya hitam, ada telinga yang besar, terlalu kurus, mempunyai hidung yang besar dan rupa saya hanya ‘biasa-biasa’ sahaja. Nasihat saya untuk semua wanita diluar sana, setiap orang itu berbeza dalam caranya yang tersendiri.
“Belajarlah untuk sayang, jaga, hargai diri sendiri. Ya, saya hitam, ya saya ada telinga yang besar, ya saya ada hidung yang besar. Saya bercakap begini untuk menunjukkan bahawa saya suka dengan apa yang Tuhan telah jadikan saya dan bersyukur dapat belajar menghargai diri saya pada usia sebegini.
“Jangan pernah biarkan masyarakat meletakkan definisi sebenar cantik itu kerana kecantikan datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Dengan hati yang ikhlas dan tingkah laku yang baik, kecantikan itu datang dengan sendirinya,” tulisnya.
Perkongsian oleh YM Che Puan Khaleeda menerusi Instagram itu menjadi perhatian ramai dan inspirasi buat wanita diluar sana untuk lebih menyayangi diri sendiri. Rata-rata netizen berterima kasih dengan kata-kata motivasi oleh beliau dan mengatakan Che Puan Khaleeda sentiasa cantik di mata mereka.