Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan bahawa sebanyak 3,212 kenderaan didapati cuba untuk merentas negeri atas alasan ingin pulang ke kampung untuk berhari raya semalam.
Menurutnya, kesemua kenderaan tersebut telah diarahkan berpatah balik. Pihak polis telah diarahkan untuk tidak membenarkan sesiapa pun merentasi negeri untuk pulang ke kampung.
“Daripada seribu lebih yang kita anggap tinggi semalam, harini 3 ribu dua ratus lebih. Bermakna, yang berminat nak balik kampung ni masih lagi ramai dan cuba untuk melepaskan daripada sekatan jalan raya. Setakat ini pihak polis tegas, dan tidak membenarkan sesiapa pun untuk merentasi negeri untuk balik ke kampung”, ujarnya.
#PKPB: 3,212 kenderaan cuba merentas negeri pulang ke kampung di arah berpatah balik - Ismail Sabri pic.twitter.com/Xb1nMqMXvj
— BERNAMA (@bernamadotcom) May 20, 2020
Menurutnya lagi, orang ramai yang ingin merentasi negeri untuk pulang ke kampung perlu kemukakan sebab-sebab yang kukuh kepada pihak polis bagi mendapat kebenaran sekiranya tidak mahu diarahkan berpatah balik oleh pihak polis.
“Bukan bermakna langsung tak boleh, tetapi jika ada kecemasan seperti kematian. Barulah pihak polis membenarkan. Jadi jika ada kes-kes seperti ini, jumpa dengan pihak polis di balai polis terdekat. Tetapi kalau alasannya untuk balik ke kampung untuk berhari raya, memang tidak akan dibenarkan dan akan diarahkan berpatah balik oleh pihak polis”, katanya.
Sumber: Bernama TV