Jika sebelum ini fenomena ‘Train to Dabong’ menyebabkan Stesen Kereta Api Wakaf Bharu dibanjiri penumpang ingin ke destinasi viral iaitu Dabong, kini ia seperti padang jarak padang terkukur.
Stesen itu dipenuhi lebih 100 penumpang malah pernah mencecah 500 penumpang pada hujung minggu bagaimanapun kini sunyi sepi dan tinggal hanya beberapa orang individu sahaja yang setia menunggu ketibaan pengangkutan itu.
Keadaan ini berlaku sejak pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini yang bermula semalam hingga 6 Disember sekaligus menjadikan stesen yang baharu meriah kembali sunyi sepi.
Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi berkata, walaupun tiada penumpang, operasi kereta api tetap berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena PKPB.
“Selain memakai pelitup muka, semua penumpang perlu menunjukkan surat kebenaran rentas daerah atau negeri ketika ingin membeli tiket di kaunter.
“Jika tiada, kita bimbang mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya pemeriksaan dilakukan sama ada di dalam tren atau sebelum naik dan tiba di sesebuah stesen,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perubahan drastik sebegitu memang sudah dijangkakan berikutan orang ramai tidak dibenarkan rentas daerah kecuali memiliki surat kebenaran.
Menurutnya lagi, ketika fenomena ‘Train To Dabong’ bermula sejak beberapa bulan lalu, stesen Wakaf Bharu adalah pilihan utama orang ramai yang ingin merasai suasana menaiki kereta api dan menikmati pelbagai tarikan di Kuala Krai.
“Bagaimanapun sejak semalam hanya beberapa penumpang sahaja yang menggunakan pengangkutan ini dan itu pun yang ingin ke tempat kerja di daerah lain,” katanya.
Terdahulu tinjauan pematuhan SOP sempena PKPB dilakukan oleh Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Major Abd Halim Shafai bersama Ketua Stesen Kereta Api Wakaf Bharu, Che Soh Dollah.
Difahamkan semalam tiada langsung penumpang yang menaiki tren harian sama ada dari Tumpat ke Gua Musang atau Tumpat ke Kuala Lipis yang membabitkan tiga perjalanan setiap hari.
Tinjauan yang dilakukan oleh Harian Metro di stesen itu hari ini mendapati hanya empat penumpang yang sudah menaiki tren awal pagi tadi manakala seorang sahaja penumpang yang berada di stesen itu untuk menaiki tren harian dari Tumpat ke Dabong pada jam 2.15 petang.
Tren ekspres yang baharu tiba dari Johor Bharu pada jam 12.15 tengah hari tadi pula hanya menurunkan penumpang tiga atau empat orang sahaja.
Seorang penumpang, Aminah Zakaria, 74, berkata dia ingin pulang ke Manek Urai, Kuala Krai selepas berada di sini sejak Rabu lalu kerana menziarah adiknya yang kini dirawat di hospital.
“Anak mengambil surat permohonan rentas daerah di Balai Polis Wakaf Bharu petang tadi untuk kegunaan saya kerana bimbang berdepan dengan pemeriksaan oleh pihak berkuasa,” katanya.
sumber: Harian Metro