Polis menafikan mesej tular mengatakan Empangan Kenyir atau Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir di sini dibuka bagi melepaskan air melalui alur limpah sehingga mengakibatkan banjir.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, buat masa ini paras air di Tasik Kenyir adalah terkawal.
“Setakat ini paras sir di Tasik Kenyir terkawal iaitu pada tahap 140 meter (m).
“Jadi dakwaan terdapat pintu-pintu rahsia di empangan yang telah dibuka sehingga menyebabkan banjir agak teruk adalah palsu dan tidak benar,” katanya ketika ditemui pemberita semasa rondaan menggunakan bot amfibia di Kampung Matang di sini.
Beliau berkata, limpahan air hanya akan berlaku sekiranya paras air Tasik Kenyir mencecah 146m.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, maklumat itu sering ditularkan saban tahun setiap kali musim banjir melanda negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya memberi amaran kepada mereka supaya tidak menularkan berita yang tidak benar.
“Saya nak beri amaran kepada semua pihak yang menyebarkan berita palsu bahawa perlakuan anda adalah satu kesalahan jenayah di bawah akta multimedia dan kanun keseksaan.
“Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan denda yang berat,” katanya.
Sementara itu, di KOTA BHARU, kejadian banjir arus deras yang berlaku secara tiba-tiba di Kampung Chuchoh Puteri Kuala Krai petang kelmarin bukan akibat daripada bukit terbelah, sebaliknya berpunca daripada kepala air.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setakat siasatan pihaknya kelmarin tidak menemui kesan bukit yang terbelah seperti didakwa netizen malah keadaan banjir di daerah itu terkawal.
“Lewat petang semalam kami menerima maklumat sekumpulan 20 keluarga yang terkepung kerana air turun mendadak dan menghantar pasukan menyelamat sehingga kesemua mereka berjaya diselamatkan pada jam 8 malam.
“Setakat ini tidak ada bukit pecah, tidak ada siapa-siapa tengok dan (bukit terbelah) hanya dakwaan orang ramai.
“Memang ada air turun sekaligus yang biasa dipanggil kepala air tetapi tidak terlalu kuat cuma turun secara sekali gus menyebabkan banjir mendadak bagaimanapun tidaklah sampai ke tahap banjir 2014,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Hasanudin turut memberi amaran tegas kepada netizen supaya tidak menularkan perkara yang tidak betul atau mengulang tayang gambar-gambar banjir pada tahun 2014 hingga menggusarkan penduduk di negeri ini.