Polis telah mengambil keterangan seorang seorang wanita pengasas produk kecantikan yang mendakwa dia tidak menunaikan solat di dalam sebuah videonya yang kini tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini semalam.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan sebelum kes itu diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Tiada tangkapan dilakukan terhadap wanita itu dan dia sudah dibebaskan sebaik selesai memberi keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Khairuddin berkata, setakat ini, polis telah menerima empat lagi laporan terhadap wanita terbabit berkaitan isu yang sama yang dibuat di IPD Pasir Mas.
sumber: Kosmo Online