Polis Tahan Dua Suspek Bantu Siasatan Kes Rompakan Kedai Pajak Gadai di Pasir Mas

Posted on

Polis Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, dekat sini, yang berlaku Khamis (5 Mei) lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata lelaki dan wanita warga tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.

Beliau berkata pihaknya masih mencari bukti-bukti baharu bagi membantu siasatan selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat.

“Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh saksi sebelum ini kita perlu sahkan memandangkan pada peringkat awal terdapat pencanggahan maklumat.

“Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada bahagian forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal, kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Supt Tan Seng Lee yang memangku jawatan itu sebelum ini kepada pemangku ACP Amran Dolah.

Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.