MENJELANG inkues minggu depan, sumber hari ini mendedahkan polis menyiasat dua kemungkinan punca berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Satu daripadanya adalah beliau dipukul oleh orang ramai dan satu lagi dilanggar oleh jentera bomba yang sedang mengundur.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, polis menyoal sekurang-kurangnya tiga anggota bomba, termasuk pemandu kenderaan bomba yang dikatakan sedang mengundur dan melanggar Adib ketika cuba melarikan diri daripada perbuatan ganas ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya, Selangor pada November.
“Hasil laporan bedah siasat, terdapat dua kemungkinan yang mungkin menyebabkan kematiannya. Satu beliau dirempuh trak bomba dan satu lagi diserang oleh sekumpulan orang di tempat kejadian,” kata satu sumber.
“Dua kemungkinan ini akan dijawab dalam inkues,” kata sumber itu.
Inkues akan bermula pada 11 Februari dan diteruskan selama 30 hari bekerja.
Peguam bagi keluarga Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab, berkata 30 saksi akan dipanggil, termasuk beberapa anggota bomba.
Inkues ini akan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah yang akan memanggil enam saksi pakar, termasuk doktor yang merawat kecederaan Adib dan seorang pakar forensik yang melakukan bedah siasat.
Media sosial sebelum ini membuat spekulasi terhadap dua teori ini bagaimana anggota bomba muda itu mengalami kecederaan teruk yang akhirnya membawa kepada kematiannya.
Laporan polis dibuat oleh rakan-rakan Adib yang mendakwa anggota bomba itu ditarik keluar dari kenderaan dinaikinya dan diserang oleh orang ramai.
Pihak kuil, bagaimanapun, kemudian mengadakan sidang akhbar dan mendakwa Adib dilanggar oleh trak bomba yang sedang mengundur.
Empat orang suspek ditahan reman semasa peringkat awal penyiasatan tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Adib yang dilahirkan di Kedah adalah satu-satunya mangsa yang meninggal dunia dalam rusuhan yang meletus selepas penceroboh bersenjata menyerbu kuil Hindu pada 26 November.
Adib adalah seorang daripada sembilan anggota dalam unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan Subang Jaya yang ditugaskan ke tempat kejadian selepas sekumpulan perusuh membakar beberapa kenderaan.
Beliau didapati tidak sedarkan diri di jalan raya oleh orang yang lalu lalang dan membawanya ke Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby.
Walaupun beliau kemudiannya sedar dan menunjukkan beberapa tanda pemulihan, fungsi paru-paru Adib merosot dan akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember, tiga minggu selepas dimasukkan ke hospital. – 7 Februari, 2019.