Pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai tutup sepenuhnya, namun bilangan mangsa banjir kekal 198 orang membabitkan tujuh pusat di Tanah Merah dan Machang, setakat jam 5.30 petang ini.
Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tanah Merah yang menjadi daerah tertinggi mangsa banjir mengalami peningkatan sedikit kepada 161 orang daripada 42 keluarga dipindahkan di enam PPS berbanding 155 orang, jam 2 petang tadi.
Hanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim mengalami peningkatan kepada 17 mangsa, manakala lima lagi pusat masih kekal iaitu SK Kelewek (39 mangsa), SK Bukit Panau (dua mangsa), SK Alor Pasir (23 mangsa), Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang (33 mangsa), dan Masjid Mukim Kuala Kepok (47 mangsa).
Mangsa banjir di Machang masih kekal seramai 37 mangsa daripada 15 keluarga yang ditempatkan di SK Pak Roman.
Sementara itu, berdasarkan web publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan air Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan trend meningkat apabila kini merekodkan bacaan 9.16 meter (m), melepasi paras bahaya sembilan meter.
Keadaan sama turut berlaku di Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai yang meningkat sedikit daripada 31.7 m kepada 31.84 m, pada paras amaran.
Bagaimanapun, Sungai Golok di Jenob yang berada di paras berjaga-jaga, kini kembali normal, manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial masih berada paras berjaga-jaga iaitu masing-masing 21.38 m dan 13.46.