Projek Gila: Kerjasama Lefthanded, 100 pendikir gegar Kelantan 13 Februari

Posted on

Kumpulan rock legenda tanah air, Lefthanded akan berkerjasama dengan 100 pendikir dalam Konsert Jelajah Seluruh Malaysia yang bakal diadakan di negeri ini pada 13 Februari ini.

Konsert menerusi Projek Gila selama kira-kira dua jam itu dijadual berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Penyanyinya, Datuk Nash berkata, sejarah bakal tercipta kerana ia menjadi konsert terbesar pertama membabitkan pendikir sekali gus memartabatkan seni dikir barat.

“Ini adalah julung kali kita berkolaborasi dengan pendikir di negeri ini.

“Pada konsert itu kelak, nama-nama besar seperti Cikgu Sulizi, Man Khan serta ramai lagi tampil menyanyikan lagu-lagu dikir seperti Wau Bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, konsert itu diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-40 Lefthanded dan sebagai membuka tirai tahun 2021.

Katanya, selain Kota Bharu, Lefthanded akan menjelajah di 16 lokasi di seluruh negara menerusi konsert bertemakan judul salah satu album Lefthanded iaitu ‘Alam dan Pencipta’.

Sementara itu Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri, Ayman Mohd. Daham berkata, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam ( MPKB-BRI) sudah mengeluarkan permit konsert itu bersama syarat tertentu.

Antaranya kata beliau, pengasingan penonton lelaki dan perempuan, kecuali penonton yang berkeluarga.

“Kita juga harap penonton dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal ketika konsert itu nanti,” katanya.

Tiket konsert tersebut mula dijual Januari ini menerusi dalam talian dan sebarang maklumat lanjut, peminat boleh melayari laman web www.projekgila4u.com atau menghubungi wakil penganjur di talian 010 50862577. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.