Pukul Pensyarah Sampai Buta : Wea Selamos, Tok Singa Dijel 3 Tahun

Posted on

KOTA BHARU, 22 Jun 2025 – Empat pengamal perubatan tradisional, termasuk dua individu dikenali sebagai Wea Selamos dan Tok Singa, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah membelasah seorang pensyarah hingga buta mata kiri dalam kejadian yang berlaku empat tahun lalu.

Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli menjatuhkan hukuman terhadap Wea Selamos atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Izwan Midin, dan Tok Singa atau Muhammad Firdaus Mohd Adnan, masing-masing berusia 37 tahun. Dua lagi tertuduh ialah Idrees Ishak, 46, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 39, yang juga bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional.

Tertuduh Gagal Tampil Pembelaan Meyakinkan

Dalam keputusannya, Hakim berkata mahkamah mendapati semua tertuduh gagal mengemukakan pembelaan kukuh, sebaliknya hanya membuat penafian semata-mata.

“Mahkamah mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh adalah penafian semata-mata. Maka semua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini,” kata beliau.

Mangsa Buta Mata Kiri Akibat Dipukul

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 43, yang menyebabkan kehilangan penglihatan kekal pada mata kiri.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 5 Ogos 2021 sekitar jam 4 pagi di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Motif: Dakwaan Mangsa Amalkan Rawatan Menyeleweng

Peguam bela tertuduh, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad, memberitahu mahkamah bahawa insiden berpunca daripada dakwaan kononnya mangsa mengamalkan rawatan tradisional yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Semua tertuduh adalah perawat tradisional yang cuba membantu masyarakat, namun mangsa dikatakan mengamalkan kaedah rawatan tidak selari dengan Islam,” ujar beliau.

Rayuan & Penangguhan Hukuman Dibenarkan

Semasa prosiding, semua tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi tujuan mengemukakan rayuan. Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dengan syarat rayuan difailkan segera dan jaminan bagi setiap tertuduh dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Kesemua tertuduh kemudiannya dibebaskan selepas menjelaskan jumlah jaminan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Wae Selamos bersama Tok Singa dan dua rakan mereka mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 30 Ogos 2021 atas pertuduhan memukul seorang bomoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.