Rata-rata Peniaga bazar Ramadan di Kelantan luah kekecewaan

Posted on

Seramai 100 peniaga bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad V, di sini, kecewa apabila kerajaan negeri membatalkan kebenaran operasi bazar Ramadan secara drastik di seluruh negeri itu.

Peniaga mendakwa mereka sudah membuat segala persiapan dengan membeli kelengkapan untuk berniaga mulai esok dan kini menanggung kerugian RM5,000 hingga RM10,000 susulan arahan berkenaan.

BACA: Bazar Ramadan di Kelantan dibatalkan

Peniaga Nor Hidayu Muhamad, 31, yang menjual minuman, kambing bakar dan sotong bakar berkata, dia sudah menghabiskan wang RM10,000 untuk dijadikan modal termasuk membeli bahan mentah.

“Namun saya tidak menyangka sebaik menerima berita semalam mengatakan bazar Ramadan di Kelantan tidak dibenarkan beroperasi susulan kes Covid-19 meningkat.

“Luluh hati kami mengenangkan segala persiapan sudah dibuat dan hari ini sepatutnya saya sudah membawa masuk barang ke tapak bazar Ramadan.

“Jika keputusan ini dibuat lebih awal, kami tidak perlu menanggung kerugian teruk, ini dua hari sebelum Ramadan arahan pembatalan operasi bazar Ramadan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Nor Hidayu yang sudah berniaga di bazar Ramadan berkenaan sejak 2017 berkata, setiap kali menjelang Ramadan, mereka mampu mencari wang lebih berbanding berniaga pada hari biasa kerana ianya tidak selaris ketika Ramadan.

“Pihak kami sudah berbincang rapi termasuk menyediakan anggota Rela untuk bertugas menjaga pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kami buntu tidak tahu nak meniaga di mana lagi dengan barangan yang sudah dibeli,” katanya.

Peniaga Mohd Faisal Yusof, 38, yang menjual roti john berkata, dia kesal dengan tindakan kerajaan negeri apabila membuat keputusan tanpa memikirkan nasib peniaga.

“Bagaimana dengan kami yang menanggung kerugian ribuan ringgit dan tidak boleh berniaga ketika Ramadan. Di tepi jalan mana kami nak duduk untuk berniaga? Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan mengganggu kami?

“Sebenarnya operasi bazar Ramadan tiada masalah kerana jarak yang jauh dan SOP yang ketat. Jika dulu 400 tapak disediakan, namun disebabkan Covid-19 hanya 200 tapak disediakan.

“Penjarakan sosial sudah dilakukan, namun ketika saat akhir kerajaan negeri menarik semula kebenaran operasi bazar Ramadan. Saya pening dan sejak semalam mencari kedai untuk berniaga, namun sehingga kini gagal untuk mendapatnya,” katanya.

Semalam, media melaporkan bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan susulan kes Covid-19 di negeri itu mencatatkan peningkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan menerusi status di Facebooknya.

Manakala, Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar demi membendung penularan wabak berkenaan.

sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.