Rayuan BPN Dibuka Mulai Esok Sehingga 31 Mei 2020 – LHDN

Posted on

Pemohon yang gagal menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebelum ini boleh membuat rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mulai 11 Mei atau 12 Mei (berdasarkan hari bekerja negeri) sehingga 31 Mei 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata Kementerian Kewangan dan LHDN telah bersetuju memberi peluang kepada pemohon untuk membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan untuk dipertimbangkan.

Menurutnya rayuan tersebut boleh dihantar ke e-mel rayuanbpn@hasil.gov.my atau hadir ke mana-mana pejabat LHDN.

“Untuk makluman, data yang digunakan oleh LHDN dalam memproses setiap permohonan adalah berdasarkan maklumat terkini pangkalan data percukaian selain maklumat pemohon BSH (Bantuan Sara Hidup) sebelum ini.

“LHDN turut melaksanakan semakan silang dengan data agensi-agensi yang dilantik oleh LHDN bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasar.

“Sehubungan itu, data yang ada hanya merangkumi maklumat sehingga tahun 2019. Ekoran itu, kami difahamkan ada data yang belum dikemaskini dan tidak mengambil kira keadaan semasa termasuk krisis COVID-19,” katanya dalam sesi temu bual dengan stesen televisyen RTM.

Sabin berkata antara kategori pemohon yang boleh mengemukakan rayuan kepada LHDN adalah mereka yang telah ditolak kerana gaji melebihi RM4,000 atau RM8,000 serta pemohon yang pendapatannya terjejas atau telah diberhentikan kerja sehingga Mac 2020.

Selain itu, pasangan pemohon yang sudah meninggal dunia, bercerai atau baharu berkahwin dan mereka yang makan gaji juga boleh membuat rayuan BPN.

Beliau turut mengingatkan pemohon yang menghantar rayuan menerusi e-mel untuk mengemukakan dokumen sokongan berserta surat pengesahan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang https:\\bpn.hasil.gov.my.

“Keputusan ke atas rayuan yang dikemukakan oleh pemohon akan dibuat berdasarkan maklumat dan pengesahan yang disertakan oleh pemohon serta semakan silang data yang ada,” katanya.

Pada masa sama, LHDN turut meminta kerjasama orang ramai yang hadir ke premis agensi itu untuk mematuhi penjarakan sosial serta arahan dikeluarkan oleh kerajaan.

Sumber: Bernama

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.