Saat Islam Dihinna. Ini Terjemahan Surah Al-Kafirun Yang Wajib Kita Tahu.

Posted on

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣
وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥)لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
1- Katakanlah (Muhammad),” Wahai orang-orang yang kafir!  2- aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,  3- dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah,  4- dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,  5- dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah apa yang aku sembah,  6- untukmu agamamu, dan untukku agamaku”

Ringkasan Kisah Disebalik Penurunan Surah Al-Kafirun.

Turunnya ayat-ayat dalam surah di atas bersempena dengan satu kisah ketika islam mula-mula disebarkan. Disebutkan dalam satu kisah bahawa orang Quraisy Mekah telah membuat pelbagai tawaran kepada Rasulullah S.A.W supaya meninggalkan ajaran islam yang dibawanya ketika itu. Ada yang menawarkan harta, pangkat, perempuan dan macam-macam lagi supaya penyebaran agama islam dihentikan oleh baginda. Akan tetapi Rasulullah tidak mahu menerima satu pun dari tawaran tersebut tetapi terus menerus menyebarkan islam.

Setelah pelbagai cara dilakukan oleh orang Quraisy, lalu pada suatu hari mereka mengajak Rasulullah berbincang dan membuat tawaran lagi kepada Rasulullah S.A.W dengan tujuan supaya baginda berhenti menyebarkan ajaran islam. Dipendekkan ceritanya:

“Ya Muhammad, apa kata kami menyembah Tuhan kamu sehari dan kamu menyembah Tuhan kami sehari, berselang-seli”

Rasulullah tidak bersetuju, lalu mereka pulang berbincang sesama mereka dan datang bertemu Rasulullah lagi.

“Beginilah, Kami sembah Tuhan kamu seminggu dan kamu sembah Tuhan kami sehari”

Rasulullah menjawab,”Tidak”

Orang Quraisy membuat tawaran lagi kepada Rasulullah, “Kami sembah Tuhanmu selama setahun dan kamu sembah Tuhan kami sehari, bagaimana?” Rasulullah menolak tawaran tersebut,lalu dari pertemuan tersebut turunlah ayat Allah seperti dalam surah di atas.

Kisah Lengkap Disebalik Surah Al-Kafirun

Latarbelakang Surah/ Asbabun Nuzul

Kaum musyrikin Quraisy sentiasa tidak merasa senang dengan perkembangan dakwah Nabi saw. Pelbagai teknik telah digunakan untuk menyekat perkembangan ini.

Sebagaimana kisah dalam surah al-Lahab, bermula di bukit Safa, mereka telah memperolok-olokkan, memperlekeh-lekehkan, mempermain-mainkan, mendusta dan mempersendakan Rasulullah saw supaya dapat melemahkan semangat kaum muslimin. Sehingga sanggup menuduh Nabi saw sebagai gila(al-Hijr:6). Mereka menyatakan al-Quran itu cerita dongengan(al-Furqaan:5), tiada keistimewaan yang ada pada Nabi saw(al-Furqaan:7)

Namun dakwah Rasulullah saw tetap berjalan seperti biasa. Maka mereka mula menyiksa sesiapa sahaja yang mengikuti ajaran baru yang dibawa oleh Muhammad. Seperti kisah Bilal disiksa dan dihempap batu besar namun tetap dibibirnya melafazkan perkataan “Ahad, Ahad, Ahad”. Nampaknya hati orang mukmin adalah begitu kuat bertauhidkan hanya semata-mata kepada Allah swt.

Ibnu Hisyam menceritakan daripada Ibnu Ishaq, ‘Utbah Bin Rabi’ah salah Seorang pembesar Quraisy yang bijak dan jauh pandangannya telah bertemu dengan Rasulullah saw dan berkata; “Wahai anak saudaraku, sebagaimana kita ketahui bersama bahawa engkau adalah sedarah sedaging dengan kami, berasal dan keturunan dan baka yang mulia dan seperti yang diketahui ramai, bahawa engkau telah membawa suatu ajaran baru, memecahkan kaum puak kita di samping engkau selalu mengolok-olokkan dan memperbodohkan penyembahan berhala. Mahukah sekiranya aku tawarkan beberapa perkara, semoga engkau dapat menerima sebahagian darinya”

Maka Rasulullah saw pun berkata kepadanya; “Katakan, ya Abal-Walid, saya cuba mendengarnya.”

Maka berkatalah ‘Utbah: “Sekiranya tujuanmu membawa agama baru ini untuk mendapatkan harta kekayaan maka kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk kamu sehingga kamu menjadi seorang yang lebih kaya-raya dan kami, sekiranya engkau bermaksud untuk mendapatkan kemuliaan maka kami sekalian bersedia bila-bila masa melantik engkau sebagai ketua kami, sekiranya engkau ingin menjadi raja, yang demikian pun kami bersedia juga untuk mempertabalkan engkau sebagai raja kami dan sekiranya segala tawaran tadi semuanya engkau tolak mentah-mentah maka yang terakhir sekali kami bersedia membelanjakan harta kekayaan kami untuk mencari tabib untuk merawat engkau hingga sembuh.”

Setelah itu Rasulullah saw menjawab dengan katanya: “Apakah sudah habis segala hasrat yang hendak dicurahkan itu?”
Jawab ‘Utbah: “Ya.”

Maka sambung Rasulullah saw, “sekiranya demikian maka dengarkanlah dariku pula”, Rasulullah saw membaca surah al-Fusilat dari ayat pertama hingga ayat ke tiga-belas, tiba-tiba ‘Uthbah meminta Rasulullah saw berhenti membacanya sebelum Baginda meneruskan ayat yang seterusnya kerana terpaku dengan ayat-ayat yang penuh ugutan itu.

‘Utbah pun kembali kepada sahabat-sahabatnya lalu ia ditanya: “Apakah pengkhabarannya,”

Jawab ‘Utbah. “Demi Sesungguhnya belum pernah aku dengar lagi barang sesuatu sepertimana aku dengar hari ini, ianya bukan sya’ir, bukan jampi, seloka, sihir dan bukan gurindam biarawan. Wahai kaum Qu raisy sekelian! dengarlah cakapku ini, berilah peluang kepada Muhammad, biarkanlah dengan usahanya itu. Demi Tuhan sesungguhnya apa yang kudengar tadi adalah suatu berita yang teristimewa. Andaikata apa yang digambarkan oleh Muhammad terhempap ke atas kamu maka tidak ada orang lain hanya Muhammad saja yang boleh melepaskan kamu, dan andaikata Muhammad boleh menonjol diri di kalangan bangsa ‘Arab maka percayalah bahawa kekuasaan kamu dan kemegahannya adalah kemegahan kamu jua.”

Jawab mereka: “Demi sesungguhnya engkau pun juga telah diperdaya oleh Muhammad dengan kelancaran lidahnya.” 

Jawab ‘Utbah pula: “Apa yang kukatakan tadi adalah pendapatku tentang Muhammad dan pendapat kamu terserahlah kepada kamu sekelian.”

Al-Tabari dan lbnu Kathir serta periwayat yang lain menceritakan: Beberapa orang musyrikin termasuk di antaranya Al-Walid Bin Al-Mughirah dan Al-’As bin Wail telah datang menemui Rasulullah saw di rumahnya di mana mereka sekelian telah menawar kepada baginda hendak menyerahkan wang kekayaan mereka kepada Baginda sehingga menjadi manusia yang paling kaya di antara yang lain dan menawarkan juga untuk mengahwinkannya gadis jelitawan ‘Arab. Kedua tawaran itu meminta ditukarkan dengan satu syarat sahaja iaitu memberhentikan sikap penentangannya terhadap orang ‘Arab dan penyembahan berhala serta memberhentikan kecamannya terhadap adat tradisi yang mereka warisi dan datuk nenek terdahulu. Bila saja segala tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah saw dan sebagai usaha diplomatik mereka yang terakhir ialah menawarkan supaya Rasulullah saw bertolak ansur sehari menyembah berhala dan di hari yang lain pula mereka beramai- ramai menyembah Tuhan Nabi saw tetapi tawaran ini juga telah ditolak oleh Rasulullah saw. Diperjelaskan lagi dengan turunnya surah ini.

Jawatan raja memungkinkan Rasulullah saw membuat apa sahaja yang ia kehendaki dan dengan harta kekayaan Baginda dapat memajukan pergerakan Islam. Semuanya ditolak oleh Rasulullah saw. Ini sudah tentu ada sebab-sebab yang tersendiri (perlu difikirkan) mengapa Rasulullah saw bertindak sedemikian.

Al-Tabrani dan Ibn Abi Hatim mentakhrijkan hadith berikut daripada Ibn ‘Abbas; bahawa orang-orang Quraisy telah menawarkan kepada Rasulullah saw untuk memberi Baginda harta benda sehingga Baginda menjadi orang yang paling kaya di Mekah. Mereka berjanji akan mengawinkan Baginda dengan mana-mana wanita yang diingininya dengan syarat ; “Wahai Muhammad ini adalah untuk engkau dengan syarat engkau berhenti daripada mencerca tuhan-tuhan kami dan memburuk-burukkannya. Kalau engkau tidak mahu, maka sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun.”

Rasulullah saw menjawab; “Tunggulah sehingga aku melihat perintah Tuhanku.” Lalu Allah swt menurunkan surah ini (al-Kafirun:1-6) dan kemudian turun ayat 64 dari surah al-Zumar.

Kemudian mereka cuba berkompromi dengan Rasulullah saw dengan alasan ajaran mereka dan ajaran Muhammad adalah juga dari ajaran Nabi Ibrahim a.s.

Ibn Ishaq dan yang lain-lain telah menyebutkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa sebab turunnya surah ini ialah berikutan peristiwa di mana al-Walid bin al-Mughirah, al-‘As bin Wa’il, al-Aswad bin ‘Abd al-Muttalib dan ‘Umayyah bin Khalaf berjumpa dengan Rasulullah saw seraya berkata; “Wahai Muhammad,(begini sahajalah) kami menyembah apa yang engkau sembah dan engkau pula menyembah apa yang kami sembah. Kita sama-sama berkongsi pada setiap perkara. Sekiranya apa yang engkau bawa adalah lebih baik daripada pegangan kami, kami akan berkongsi dengan engkau mengenai perkara itu dan kami akan mengambil habuan kami daripadanya. Sekiranya pegangan kami adalah lebih baik dari pegangan engkau, maka engkau boleh berkongsi dengan kami mengenai perkara itu dan engkau masih boleh mengambil bahagian engkau daripadanya.” Lalu Allah swt menurunkan ayat ini.

Diriwayatkan pembesar-pembesar Quraisy tidak berputus asa dengan usaha mereka. Sekali lagi mereka datang beramai-ramai menemui Nabi saw mengemukakan kepada baginda apa yang pernah ditawarkan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah dahulu, menawarkan kepadanya untuk memegang jawatan sebagai penganjur bangsa ‘Arab, kekayaan dan mengemukakan persediaan dan kesanggupan mereka untuk mencari tabib atau dukun sekiranya Nabi saw dirasuk oleh jin dan syaitan dengan syarat yang dahulu juga.

Semuanya itu dijawab oleh Rasulullah saw dengan katanya: “Sebenarnya aku ini tidak ada kena mengena dengan apa yang kamu suarakan tadi, segala apa yang aku bawa ini bukan dengan bertujuan mencari harta kekayaan dan pangkat dan kekuasaan, tetapi Tuhan telah mengutuskan aku untuk kamu sekelian di samping itu diturunkan Kitab Suci kepada aku dan Tuhan telah menyuruh aku menyampaikan berita yang menakutkan dan mengembirakan, kewajipanku Semata-mata menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasku, sekiranya kamu terima maka itu adalah habuan kamu untuk dunia dan akhirat dan kalaulah kamu tolak, tidak ada lain hanya bersabarlah sahaja sehingga Tuhan menjatuhkan hukumanNya di antara aku dan kamu sekelian.”

Setelah perbincangan berlarutan dan tawar-menawar pun berlanjutan tetapi Rasulullah saw tetap dengan pendiriannya dan sebagai kata yang terakhir dan pihak Quraisy: “Apa yang telah sampai kepengetahuan kami tentang seorang yang tinggal di Al-Yamamah bernama “Al- Rahman” dialah yang telah mengajar engkau segala-galanya ini, sesungguhnya kami tidak percaya langsung dengannya, segala-galanya telah kami usahakan setakat daya dan upaya kami dan sebagai kata yang terakhir dan kami untuk kau iaitu kami tidak akan biarkan engkau begitu sahaja, dan pilihlah antara dua; kalau tidak engkau yang membinasakan kami maka kamilah yang akan memusnahkan engkau; itu sahaja.” Dengan kata-kata itu mereka pun berangkat pulang tanpa sesuatu pun yang tercapai.[ Tahzib Sirah Ibnu Hisyam dan Kitab Sirah yang lain.]

Fikrah Ayat

Allah swt menyuruh kita menyatakan apa? Katakanlah; يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ – “Wahai orang-orang kafir”. Kita tidak perlu menyebut perkataan kafir ini dengan perkataan yang lebih sopan. Allah swt menyuruh kita menyebutnya dengan sifat hakikinya iaitu ‘kafir’. Istilah yang paling tepat untuk digunakan adalah istilah yang telah digunakan di dalam al-Qur’an.

Melainkan jika kita berhadapan dengan situasi; ketika itu kita sedang bercakap dengan Ah Chong atau Muthu, untuk menjaga hatinya, kita menyebut perkataan ‘non Muslim’. Tetapi jika ketika itu kita sedang berbincang sesama muslim, kita perlu menyebut terus perkataan ‘kafir’ merujuk kepada orang kafir. Bukan dengan perkataan ‘non muslim’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.