Doktor Dedah Saringan Suhu Badan Tak Masuk Akal, Ada Yang Sama Macam Suhu Mayat

Posted on

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan kini PKP Bersyarat (PKPB), boleh dikatakan ramai yang sudah mengamalkan normal baharu dalam urusan kehidupan seharian.

Daripada budaya kerja, bidang pembelajaran kepada perniagaan, pergantungan kepada teknologi digital semakin ketara. Begitu juga amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk penjarakan sosial.

Hendak masuk ke mana-mana pejabat dan pusat membeli-belah juga tidak semudah dahulu. Setiap daripada kita pada masa ini wajib melepasi pemeriksaan suhu badan sekiranya ingin melangkah masuk ke dalam bangunan.

Benarlah, pandemik COVID-19 merubah banyak perkara dalam rutin kehidupan kita.

Hanya yang bacaan suhu badan memenuhi SOP akan mendapat lampu hijau untuk masuk daripada pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk membuat pemeriksaan. Langkah ini amat penting untuk memastikan tiada penularan wabak COVID-19.

Namun begitu, adakah pengambilan suhu itu benar-benar mengikut SOP yang ditetapkan? Persoalan paling penting, adakah anda yakin bahawa bacaan suhu itu adalah tepat mahupun sebaliknya?

Suhu rendah

Ini yang dipersoalkan oleh Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin dalam satu ciapan di Twitternya baru-baru ini, selepas mengunjungi sebuah restoran di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Beliau yang ketika itu sedang menunggu giliran untuk diperiksa suhu badan oleh pekerja restoran berkenaan terkejut sebaik melihat segala rekod suhu badan pelanggan sebelum ini yang dicatatkan mereka di sebuah buku.

Agak luar biasa menurut Dr Helmy kerana kesemua suhu badan pelanggan yang datang ke restoran itu adalah di bawah suhu 36.0 darjah selsius iaitu 33.0, 32.0, 31.5, 33.5, dan paling rendah adalah 29 darjah selsius, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Ini kerana suhu badan manusia normal adalah antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius dan sekiranya melebihi suhu berkenaan seseorang itu dikira demam dan tidak boleh dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis.

Seperti diketahui, gejala utama COVID-19 adalah demam dan saringan paling mudah untuk memastikan pelanggan sesebuah restoran, pekerja ke pejabat atau sesiapa sahaja untuk melangkah ke dalam bangunan merupakan seorang yang sihat adalah melalui bacaan suhu badan menggunakan termometer.

Itu yang telah ditetapkan dan wajib dipatuhi sektor ekonomi kerana kegagalan mematuhi SOP akan membuatkan mereka berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Tak guna buat saringan suhu badan sekiranya peralatan yang digunakan tak jitu. Use the right equipment and check your thermometers – we don’t want false assurances! ” kata beliau dalam ciapannya di akaun @dochelmy.

Bernama yang menghubungi beliau baru-baru ini untuk bertanya lebih lanjut mengenai ciapannya itu dimaklumkan bahawa, keadaan tersebut jelas membuktikan pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam restoran berkenaan tidak disaring sebetulnya dan sudah tentu ia membimbangkan.

Ini kerana kemungkinan besar ada antara mereka mempunyai suhu badan lebih daripada 37.5, mempunyai gejala COVID-19 seperti demam tetapi dibenarkan masuk apabila bacaan suhu rendah kerana tidak disaring sebetulnya oleh pihak premis.

Hal ini menjadi kerisauan Dr Helmy kerana berkemungkinan pelanggan tidak disaring sebetulnya ini merupakan pesakit COVID-19 tanpa mereka sedari yang akhirnya menjangkiti orang lain.

Kena tahu cara guna

“Kalau tengok catatan buku tersebut ada yang mempunyai suhu serendah 29 darjah selsius dan ia sangat tidak logik kerana itu sudah suhu tahap mayat. Suhu badan manusia walau di mana saja kita berada termasuklah di negara sejuk, akan tetap sama antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius.

“Sekiranya ada yang mempunyai suhu bawah 36.0 darjah selsius adalah disebabkan mereka sakit seperti penyakit hypothermia tetapi tidaklah sampai serendah 29 darjah selsius.

“Perkara ini perlu diambil perhatian jitu kerana normal baharu yang menetapkan setiap individu diperiksa dahulu suhu badan sebelum masuk tidak akan berguna sekiranya tidak disaring sebetulnya.

“Bayangkan, pemilik restoran sudah bersedia lengkap mematuhi SOP ditetapkan tetapi disebabkan kesilapan bacaan suhu badan, kita bimbang ada kes demam berkait dengan COVID-19 terlepas masuk,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Menurut Dr Helmy, ada beberapa faktor yang menyebabkan pembacaan suhu itu tidak tepat antaranya disebabkan kesilapan pengendalian alat berkenaan kerana tidak memahami sebetulnya tatacara penggunaan, kualiti mahupun aspek menyelaraskan fungsi tentukur termometer tidak diambil perhatian.

Walhal, amat penting sebenarnya alat tersebut diselaraskan fungsinya (menentukur) sebelum digunakan buat pertama kali dan juga sekiranya ia terjatuh mahupun apabila diguna berulang kali bagi memastikan bacaan yang akan diambil nanti adalah tepat.

Selain perlu juga memahami termometer mempunyai pelbagai jenis dan setiap alat pengimbas suhu ini adalah berbeza cara penggendaliannya.

Paling popular digunakan ketika ini oleh kebanyakan syarikat, restoran adalah termometer temporal artery atau juga dipanggil termometer dahi yang menggunakan sinaran inframerah untuk menentukan suhu pada dahi kerana agak mudah mengendalikannya serta tidak berlakunya sentuhan.

“Sebenarnya, pemeriksaan suhu paling tepat adalah menggunakan termometer merkuri di mana perlu meletakkannya di bawah lidah selama beberapa minit. Ia susah sikit berbanding dengan yang dipakai pada dahi,” jelas Dr Helmy.

Berbeza

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kecemasan KKM, Dr Ahmad Zakimi Abdullah, kepentingan untuk mengetahui fungsi setiap termometer ini penting bukan sahaja untuk memastikan bacaan suhu yang diambil tepat bahkan juga disebabkan cara bacaan suhu alat pengimbas itu adalah berbeza antara satu sama lain,

Berkongsi maklumat berkenaan di laman sosial, Facebook miliknya selepas berhadapan insiden hampir serupa dengan Dr Helmy, beliau terkejut apabila ada penjaga pintu di satu premis yang dikunjunginya tidak tahu suhu yang betul untuk dibenarkan masuk.

“Tak semua orang tahu kan. Oleh itu, kita perlu memberi sedikit penerangan tentang tatacara penggunaan termometer untuk saringan awal.

“Suhu badan normal adalah sekitar 36 darjah selsius hingga 37.4 darjah selsius. Maka suhu 37.5 darjah selsius atau lebih sudah dikira anda demam. Ini hanya untuk bacaan ‘thermoscan infrared’.

“Bacaan suhu dengan termometer jenis lain dikira demam adalah berbeza; ketiak >37.2 darjah selsius, mulut >37.8 darjah selsius dan rektum (punggung) atau telinga >38 darjah selsius.

Menurut beliau, cara mengambil suhu tujuan saringan pintu masuk, mestilah dengan menggunakan termometer jenis infrared gun demi mengekalkan penjarakan 1 meter.

“Jarak menggunakan termo gun ini taklah terlalu jauh kerana ia akan memberi ralat dan tidak tepat pada bacaan. Perlu lihat tatacara penggunaan termo gun mengikut pengeluar.

“Penyaring perlu memakai PPE sekurang-kurangnya topeng muka. Penjarakan 1 meter adalah diwajibkan. Bateri termometer ini kena sentiasa diperiksa secara berkala juga,” katanya dalam status tersebut.

Golongan berisiko

Sememangnya, hal ini tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, media sebelum ini ada melaporkan terdapat ramai individu membawa golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 seperti kanak-kanak dan warga emas ke tempat awam sejak PKPB dilaksanakan pada 4 Mei lepas.

Justeru, bayangkanlah apabila golongan berisiko tinggi ini berada di tempat awam yang tidak disaring betul suhu bacaannya dan berkemungkinan besar terdedah kepada jangkitan COVID-19 tanpa disedari. Bukankah ini membahayakan mereka?

Kerana itulah, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan adalah sebaiknya setiap daripada kita mengelak untuk berada di tempat awam sekiranya tidak ada keperluan penting biarpun sesuatu aktiviti itu dibenarkan mahupun premis itu lengkap dengan SOP ditetapkan.

Jangan mudah selesa dengan angka semasa COVID-19 yang ketika ini berlegar sekitar dua digit. Kecuaian dan kelekaannya memungkinkan Malaysia berdepan peningkatan penularan COVID-19 secara mendadak pada pertengahan Jun berdasarkan pemodelan dan ramalan COVID-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) .

“Janganlah kita sesekali sia-siakan pencapaian agak cemerlang yang gigih lagi tekun kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 sehingga dikitiraf di peringkat dunia!

“(Apa yang kita lalui hari ini adalah) “norma baharu yang bersifat sementara sahaja” sehingga pandemik ini dapat diperangi dengan jayanya tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Bernama

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.