Fattah Amin Tidak Kisah Bantahan Drama Coffee Prince
Bakal membintangi watak utama drama paling popular Korea, Coffee Prince, Fattah Amin tidak mengetahui bahawa dirinya mendapat bantahan dari peminat tegar drama tersebut untuk membawa watak hero. Jelasnya, keputusan itu biarlah ditentukan oleh pengarah sendiri.
BACA: Bantah Fattah Amin Berlakon Drama Coffee Prince
“Saya tidak tahu hujung pangkal pun. Tiada liputan telefon di sana dan saya ‘terputus’ hubungan dengan dunia luar. Sebaik pulang, saya dimaklumkan bahawa pemilihan saya sebagai hero drama versi Bahasa Malaysia arahan Michael Ang mendapat bantahan pengikut setia drama asalnya”
“Saya serahkan kepada pihak produser dan pengarah untuk membuat keputusan. Jika mereka merasakan saya layak memegang watak utama dan tidak hirau dengan bantahan peminat drama Coffee Prince, saya seperti biasa akan menggalas tugas sebaik mungkin,” katanya kepada Harian Metro.
Khabarnya petisyen itu dibuat menerusi laman web yang dikenali sebagai Gopetition yang menyebut pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu tidak layak memegang watak utama yang dilakonkan pelakon asalnya, Gong Yoo. Ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pemilihan itu.
Drama remake itu turut menampilkan Janna Nick yang melakonkan watak Ko Eun-Chan. Selain Fattah, Hafidz Roshdi turut sama diumumkan sebagai pelakon utama untuk drama adaptasi baru ini. Mungkin lakonan Fattah kali ini tidak sekayu dulu, kita tunggu dan lihat sajalah.