“Saya Tak Pentingkan Status Atau Pangkat, Yang Penting Bakal Suami Kuat Pegangan Agama,” – Uqasha Senrose

Posted on

BUKAN mengikut adat dan budaya orang Barat, sebaliknya tindakan itu dilakukan hanya sekadar suka-suka. Itu penjelasan pelakon Uqasha Senrose selepas dikritik gara-gara menyambut bunga yang dibaling oleh adiknya, Nelydia Senrose dalam majlis bridal shower (majlis meraikan bakal pengantin) baru-baru ini.

Menjelaskan situasi tersebut, Uqasha berkata, majlis dilakukan sekadar untuk suka-suka bersama rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat memandangkan hanya dia yang belum mempunyai pasangan.

Pada masa sama, Uqasha mengakui tidak tertekan hidup tanpa pasangan meskipun sudah menginjak usia 27 tahun.

Meskipun adiknya, Nelydia Senrose terlebih dahulu bakal menamatkan zaman bujang, Uqasha Senrose memberitahu dia tidak berasa tertekan apabila ramai yang tertanyakan bila pula gilirannya untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya tidak tertekan apabila ada yang bertanya bila pula giliran saya (untuk berkahwin). Lagipun saya tidak kisah kalau Nelydia kahwin dulu ssebab jodoh dia sudah sampai dan saya gembira untuk dia.

Uqasha berkata, dia tidak mahu terburu-buru mencari pasangan sehingga tersalah pilih hanya kerana mahu cepat kahwin.

Dalam pada itu, Uqasha tidak kisah mengenai soal status atau pangkat bakal suaminya asalkan lelaki itu boleh membimbing dirinya ke jalan yang baik serta seorang yang kuat pegangan agama.

“Sekarang saya dalam misi mencari calon yang sesuai, namun enggan terburu-buru sebab tidak mahu tersalah pilih. Saya juga tidak kisah mengenai status atau pangkat bakal suami asalkan dia sentiasa berusaha dalam kehidupan untuk memberikan yang terbaik.

“Saya juga kalau boleh nak lelaki yang kuat pegangan agama sebab saya percaya seseorang lelaki itu tugasnya adalah untuk membimbing isteri mereka ke jalan yang baik. Tak boleh juga kalau wanita sahaja yang ada pegangan agama, lelaki pun kena sama sebab dia yang akan mengemudi sesebuah keluarga.

Sejujurnya, saya takut kalau berbicara soal hidup berumah tangga sebab pengalaman rakan-rakan dan diri sendiri dengan kisah cinta lama membuatkan saya berjaga-jaga,” ujarnya lagi.

“Sebabnya saya kakak, Nelydia adik tetapi dia yang mahu kahwin terlebih dahulu. Jadi, itu satu perkara normal kalau orang bertanya. Biarpun melangkah bendul tetapi saya okey sahaja. Tidak timbul perasaan tertekan sebab saya percaya jodoh itu ada, mungkin lambat sahaja.

Kalau kahwin cepat tetapi akhirnya orang itu bukanlah jodoh yang betul pun, untuk apa. Kenapa perlu memperjudikan masa depan dan hidup untuk orang yang salah. Pendirian saya mudah, biar lambat asal selamat. Saya gembira dengan apa yang saya ada sekarang,” tambahnya lagi.

Perkembangan Terkini.

“Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri untuk slot Mega Drama Astro Ria berjudul Setelah Terlafaznya Akad bersama pelakon Kamal Adli.

Dalam Saya Jual Ye Bang, badan saya agak berisi sebab saya mahu imej yang sesuai dengan watak selain membuat sedikit kelainan. Jadi untuk drama ini pula, saya kurangkan berat badan dengan mengamalkan diet tanpa makan nasi dan tidak ambil minuman bergula.

Sumber dari Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.