SELEPAS nama Muhammad Sajjad kecoh sehingga mencetuskan kontroversi ekoran kes mahkamah, usahawan kosmetik yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat Kamaruzzaman tampil memperkenalkan nama baharunya.
Pengumuman yang dibuat pada pagi Selasa memaklumkan bahawa nama Nursajadiah menjadi pilihan Sajat untuk akaun Instagramnya yang baru dibuka pada Isnin.
Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram @coach_yin, Sajat memberitahu Nursajadiah merupakan akaun ‘back up’ sebagai ganti kepada akaunnya sebelum ini.
“Ramai betul yang buat IG (Instagram) Nursajat sekarang ni. Dan ramai yang DM (mesej secara langsung) saya, tanya mana satu IG Nursajat yang betul.
“Untuk menjawab semua pertanyaan netizen-netizen, ini IG terbaharu Nursajat @nursajadiah,” kata Coach Yin atau nama sebenarnya Mohd Tishrin Mohd Adnan.
Pengumuman mengenai akaun baharu Instagram Sajat.
Sajat sebelum ini mempunyai akaun Instagram @nursajat23, bagaimanapun difahamkan ia dipadam oleh pengendali laman sosial itu berikutan akaun tersebut didakwa melanggar syarat dan panduan pengguna.
Sejak itu, banyak akaun media sosial palsu mula diwujudkan dengan menggunakan nama ahli perniagaan berusia 34 tahun itu.
Pada Disember tahun lalu, nama Muhammad Sajjad mencetuskan kekecohan selepas nama berkenaan didedahkan ketika Sajat dihadapkan ke mahkamah membabitkan kesalahan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.
Bagaimanapun menurut laporan, Sajat menafikan nama tersebut sebagai tidak benar dan menjelaskan namanya yang sebenar adalah Sajat Kamaruzzaman.
Akaun baharu Instagram Sajat dengan nama Nursajadiah.Nur Sajat didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.
Mengikut semua pertuduhan, Nur Sajat didakwa gagal mengemukakan penyata perniagaan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia mengikut cara yang ditetapkan sepanjang 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015, 1 Oktober 2015 hingga 31 Disember 2015 dan 1 Januari 2016 hingga 31 Mac 2016.
Nur Sajat didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, Petaling Jaya, antara 22 Oktober 2015 hingga 16 Jun 2016.
Dia dihukum mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kastam, Noor Asyikin Md Rodhi sementara ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam.
sumber: Mstar & catatanterakir