Sepatutnya Ramai Sebab Semua Keluarga Boleh Masuk Tetapi Sekarang Makin Takde Orang

Posted on

PETALING JAYA: Pemilik restoran mempersoal dakwaan menteri kesihatan bahawa pengharaman merokok di premis menjual makanan di seluruh negara menyebabkan peningkatan perniagaan.

Mereka berkata, pengharaman itu yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan lepas memberi kesan sebaliknya ke atas pendapatan restoran berikutan kemerosotan pelanggan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) Datuk Ho Su Mong berkata, ramai perokok menjauhkan diri kerana tidak mahu ditangkap oleh pegawai penguat kuasa.

“Kira-kira 20-30% pelanggan kami merokok dan hampir setengah daripada mereka tidak lagi datang selepas pengharaman itu berkuat kuasa,” Hu memberitahu FMT.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, pengharaman itu membantu sesetengah restoran menambah pendapatan mereka.

“Kami juga menerima bukti menunjukkan sesetengah restoran menambah pendapatan mereka kerana pelanggan kini membawa keluarga masing-masing ke situ. Dulu mereka tidak membawa anak-anak kerana asap rokok,” beliau dilaporkan berkata kepada Malay Mail.

Dzulkefly, yang mempertikaikan dakwaan kemerostoan pendapatan selepas pengharaman itu berkata, golongan bukan-perokok kini dapat menikmati makanan mereka dengan selesa.

Bagaimanapun Ho berkata, kebanyakan tempat makan kelihatan “mati dan sunyi” selepas pengharaman tersebut, sekali gus menambah beliau berharap kemerosotan itu hanya bersifat sementara.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma) berkata, ahlinya mengadu tentang kemerostoan perniagaan berikutan penguatkuasaan larangan merokok.

“Ia benar-benar memberi kesan kepada restoran, terutama kedai kecil, kata presiden Prisma, P Muthusamy, dengan menambah hampir separuh pelanggan yang merokok tidak lagi datang ke restoran.

Katanya, beliau akan mengumpulkan aduan daripada pengusaha untuk dikemukakan kepada kerajaan.

“Setakat ini, pengharaman itu tidak membantu perniagaan kami sama sekali,” katanya kepada FMT.

Peraturan larangan merokok terpakai ke atas semua tempat makan, termasuk restoran terbuka.

Kerajaan juga berkata, larangan itu mungkin akan diperluaskan untuk turut merangkumi kedai dobi dan hotel.

Kementerian Kesihatan mengarahkan lebih 5,000 pegawainya di seluruh negara bagi menguatkuasakan larangan itu, tetapi memberi tempoh “pendidikan” selama 6 bulan sebelum pesalah dikenakan denda.

Pemilik restoran yang membenarkan pelanggan mereka merokok akan turut dihukum di bawah peraturan baru itu.

Sumber Artikel : FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.