Umum mengetahui kemelut rumah tangga Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila masih tiada kesudahannya lagi. Terdahulu, Nabila mendedahkan tiada sebarang usaha berdamai dilakukan suaminya sepanjang setahun mereka tinggal berasingan.
Susulan pendedahan isterinya itu, Sharnaaz menyifatkan tindakan Nabila itu adalah salah dan kurang manis. Menerusi Insta Story, Sharnaaz memberitahu dia tidak seseakali akan menghina isterinya di media sosial kerana anak mereka, Jebat Jayden.
“Kalau isteriku (masih lagilah) ingin berbicara mengenai suaminya, itu dah tak betul dan kurang manis. Kecuali lelaki berlaku kasar, curang atau dayus.
“Namun, tidak akan aku menghinanya di mana mana ruang media, sebab apa? Satu sebab… Jebat Jayden Ahmad Sharnaaz Ahmad,” luahnya.
Dalam pada itu, Sharnaaz berkata dia memilih untuk mendiamkan diri mengenai isu rumah tangganya kerana anak mereka dan biarlah hanya Allah dan orang terdekat saja tahu apa yang berlaku.
“Kenapa aku memilih untuk diam dalam isu rumah tangga kerana Jebat, hanya Jebat.
Kebenaran tidak seperti yang didambakan. Biar Allah dan orang terdekat saja yang tahu. Tak perlu menjadi sorakan orang lua.
“Baik buruk suami atau isteri dia tetap pernah menjadi yang teristimewa. Biarkan saja begitu,” katanya.
Sebelum ini, Nabila berkata dia sudah tawar hati dan sepatutnya proses perceraian boleh selesai dengan cepat untuk memberi fokus dalam membesarkan anak mereka, Jebat Jayden.
Pada 11 September lalu, mahkamah memerintahkan satu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dibentuk bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan ini. Bagi prosiding JKP Sharnaaz melantik rakan baiknya sebagai wakil manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya Abdul Halim Khan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari 2020 untuk melantik hakam yang baru yang mempunyai kuasa untuk melafazkan cerai bagi pihak suami.