Penyanyi dan pelakon Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan mengakui dirinya masih belum berpunya biarpun ada beberapa pihak mendekati untuk menjadikannya teman istimewa mereka.
Menurut selebriti seksi berusia 26 tahun ini, disebabkan kesibukan kerja membuatkan dia masih belum lagi terfikir untuk mencari pasangan sebagai peneman hidup.
“Saya memang sangat sibuk dengan kerjaya nyanyian dan lakonan. Memang tiada masa untuk bercinta dan saya masih lagi single dan available.
“Tipulah kalau saya kata tiada yang mendekati tapi kalau bukan jodoh, kita nak buat macam mana kan,” katanya.
Kila ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2018 yang diadakan di Bukit Kiara, baru-baru ini.
Drama lakonan Kila berjudul Nafas tercalon dalam kategori Drama Rantaian Terbaik yang diterbitkan oleh Orangetree Production.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kontroversi yang sering menimpanya sejak menceburkan diri dalam bidang muzik, Kila hanya berpegang kepada pesanan ibunya, penyanyi era 90-an, Rohana Jalil yang menasihatkannya tidak memberikan fokus kepada komen-komen negatif.
“Saya selalu ingat pesanan ibu saya yang kata kita kena biasakan diri (dengan kritikan-kritikan orang ramai). Sesopan mana pun kita mesti akan tetap dikritik dan disebabkan itu kita tak boleh nak fokus sangat dengan perkara-perkara macam itu. Saya lebih senang ambil pendekatan sentiasa berpandangan positif terhadap setiap perkara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kila berkata dia akan keluar dengan single Melayu terbaharu menjelang awal tahun ini dan dia juga bakal keluar dengan lagu duet bersama artis antarbangsa selepas ini.
Kila sebelum ini pernah berkolaborasi dengan Sean Kingston menerusi lagu Put The Word In.