BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih daripada PH selepas calon mereka, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi dalam PRK DUN Semenyih.
Zakaria memperoleh 19,780, menewaskan tiga lagi lawannya, Muhammad Aiman Zainali (PH) 17,866 ; Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia (PSM)) 847 dan calon Bebas, Kuan Chee Heng mendapat 725 undi.
Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada jam 9.20 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang.
Menurut Sayuthi, jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK Semenyih meningkat kepada 73.24% berbanding beberapa PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu. Kemenangan itu menyaksikan kini PH memiliki 50 kerusi DUN Selangor manakala kerusi pembangkang meningkat kepada enam kerusi DUN.
Sokongan Melayu: PH turun sedikit, BN jauh meningkat
Malaysiakini menganggarkan PH mendapat 37.73 peratus undi Melayu dalam PRK Semenyih.
Ia menurun berbanding 44.25 peratus yang diraih ketika PRU ke-14.
Bagi undi Melayu kepada BN pula, anggaran Malaysiakini adalah 59 peratus – jauh lebih tinggi berbanding 35.33 peratus pada PRU ke-14.
Ia mungkin tanda bahawa pengundi yang memilih PAS pada PRU lalu mengundi BN kali ini.
Pusat daerah mengundi (PDM) yang menunjukkan peralihan sokongan yang paling jelas adalah kantan permai dan Bukit Mahkota – dua kawasan Majoriti Melayu kelas menengah.
Pada PRU lalu, PH menang di dua kawasan itu dengan mendapat lebih separuh undi. Kali ini, kira-kira lapan peratus daripadanya dianggarkan beralih kepada BN.
Kandungan
Kekalahan PH ‘hukuman’ daripada rakyat – Mukhriz
“KITA anggap ini (kekalahan) sebagai satu mesej yang perlu dihayati sebaik mungkin selepas ini,” kata Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut beliau, kekalahan parti kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini adalah isyarat kepada mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan sehingga ‘dihukum’ rakyat.
“Kita dah cuba sedaya upaya untuk memberi penerangan dan sebagainya di Semenyih, tapi rakyat lebih tahu apakah pilihan mereka dan kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
“Selepas ini, di mana-mana bahagian yang kita rasakan ada kesilapan serta kelemahan, itu tentulah kita perlu cuba perbaiki sedaya mungkin,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Bandar Rinching, Hulu Langat, malam ini.
Mengulas mengenai punca kekalahan itu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci untuk mengenal pasti kelemahan selain telah mengenal pasti beberapa isu.
“Selepas ini mungkin ada beberapa lagi PRK, mungkin ada kawasan kita bertanding, saya tak tahu.
“Kita kena ambil kira isu berbangkit yang berkait rapat dengan kawasan dan negeri dalam apa juga keputusan yang dibuat,” katanya.
Kemenangan gambarkan keikhlasan kerjasama UMNO-Pas – Noraini
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menganggap kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih jelas menggambarkan keikhlasan kerjasama UMNO dan Pas.
Jelasnya, kemenangan BN di Semenyih juga boleh dianggap sebagai referendum protes rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal menunaikan janji-janji yang dibuat.
“Wanita UMNO mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi DUN Semenyih kerana telah memberikan kepercayaan kepada BN.
“Semoga kemenangan ini menyuntik semangat jentera parti untuk terus berusaha dan bekerja keras di PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti BN khususnya jentera Wanita UMNO dan Dewan Muslimat Pas yang telah bekerja keras menentukan kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi.
Baginya, kerjasama kedua-dua parti ternyata mendapat sokongan besar majoriti umat Islam.
Sumber dari Utusan Online