Syafakallah: Ya Allah… Sembuhkanlah Saleem

Posted on

Saleem legenda pop rock atau boleh sahaja dianggap Raja Rock Jiwang tanah air. Senarai 84 lagu nyanyian Saleem disenaraikan sebagai hits.

Saleem mencipta nama bersama Iklim pada 1990 melalui album Satu Kesan Abadi, terbitan Suria Records. Lagu Suci Dalam Debu meletakkan Saleem sebagai Artis Sepanjang Zaman yang tidak akan dilupakan industri muzik.

Saleem muncul bersama Iklim sehingga 1996. Pada 1998, Saleem muncul solo melalui album Juwita. Lagi itu meletup, membuktikan Saleem memang penyanyi tulen. Banyak suka-duka hidup penyanyi anak Terengganu ini.

Jeritan “Jom ke laut weiii” dalam lagu Blues Ganu Kita menjadikan Saleem akan dikenang sebagai anak jati negeri nelayan Pantai Timur dalam dunia seni.

Banyak kemelut dilalui Saleem. Tetapi itu warna-warni perjalanan anak manusia dalam kehidupan. Saleem manusia biasa; ada hitam putih dalam sejarahnya. Banyak kebaikan dilakukan Saleem.

Bukan sekadar menyanyi dengan suara serak syahdunya yang berjaya mengisi kemeriahan industri muzik. Malah, sebagai manusia biasa, Saleem memang seorang yang baik.

Ketika di puncak kejayaan, Saleem sayangkan peminatnya. Pasti ramai yang ada pengalaman mengejutkan selama menjadi peminat fanatik ketika menemuinya.

Saleem kalau jumpa peminat, terutama orang yang sanggup menunggunya di belakang pentas, atau merentas jauh menghadiri shownya, dia sangat menghargai.

“Ohhh… jauh mung mari notong ambe,” kata Saleem dengan loghat Ganu masih menebal. Waktu itu, ramai peminat fanatiknya menerima layanan yang amat baik.

Antaranya, dihulurkan wang makan atau belanja buat tambang pulang. Saleem akan menggagau kocek, memberikan apa yang ada. Saleem jenis yang sangat tersentuh dan anggap dirinya budak kampung yang bertuah kerana punya peminat.

Kini Saleem menanti untuk mereliskan lagu baharunya. Judulnya Karma Cinta.

Syafakallah. Moga Saleem segera sembuh dan kembali bersama peminatnya. Moga Saleem berpeluang ke Makkah, kerana itu yang diinginkan sejak kebelakangan ini.

Cepat sembuh Saleem. “Ambe tunggu nok ajok mung ngeteh di Kampung Baru….”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.