Hampir semua dalam kalangan kita pernah ada tabiat menghisap jari sewaktu di usia bayi dulu, bukan?
Dikatakan menghisap jari ini ibarat bayi sedang menyusu, kerana perlakuannya dilihat seakan sama dengan situasi bayi menghisap puting botol susu.
Bagaimanapun, adakah kita sedar, meskipun nampak comel namun tabiat menghisap jari sebenarnya boleh membawa kemudaratan untuk kesihatan gigi itu sendiri.
Ikuti penjelasan yang dikongsikan seorang pengamal perubatan pergigian, Dr. Mohd Khairul Izwan seperti kenyataan di bawah ini.
Kandungan
Tahukah anda, kebiasaan menghisap jari ataupun puting boleh memberikan kesan buruk terhadap pertumbuhan gigi serta perkembangan tulang rahang di kalangan kanak-kanak?
Selain boleh menyebabkan gigi menjadi jongang, langit-langit anak juga boleh menjadi sempit serta berbentuk “V”.
Keadaan ini berlaku kerana apabila anak menghisap jari atau puting, pipi akan memberikan tekanan kepada bahagian gusi atas dan juga langit-langit.
Semakin kuat hisapan, semakin tinggi tekanan yang terbentuk.
Akibatnya, tulang rahang dan langit-langit akan tertolak ke dalam menyebabkan rahang menjadi sempit dan berbentuk “V”.
Rahang serta langit-langit yang sempit akan menyebabkan terjadinya kekurangan tempat bagi menampung pertumbuhan gigi kekal di kemudian hari.
Akibatnya, susunan gigi terutama gigi geraham di bahagian belakang akan menjadi berlapis serta berterabur, manakala gigi hadapan akan menjadi jongang dengan gigitan terbuka. Keadaan ini disebut sebagai “open bite”.
Kanak-kanak yang mengalami masalah langit-langit sempit ini boleh dirawat melalui rawatan ortodontik dengan memakai alat yang dinamakan sebagai “palatal expander” bagi mengembangkan semula langit-langit dan membentuk rahang menjadi bentuk “U” iaitu bentuk normal rahang.
Mencegah lebih baik daripada mengubati
Walaubagaimanapun, langkah pencegahan adalah lebih utama dan disarankan sejak anak masih kecil bagi mengurangkan risiko terjadinya keadaan seumpama ini.
Bagi mencegah keadaan ini, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak berhenti menghisap puting atau ibu jari seawal umur 2-3 tahun.
Jangan lupa juga untuk membawa anak anda bagi mendapatkan pemeriksaan setiap 6 bulan sekali di klinik gigi berhampiran.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan