Dek kerana memiliki ibu jari bersaiz sekali ganda berbanding normal, gadis berusia 22 tahun ini mendedahkan permohonannya untuk bekerja pernah ditolak.
Yus Athiqah Yusri berkata dia terkilan kerana golongan yang senasib dengannya atau mereka yang dilahirkan dengan enam jari dinafikan peluang pekerjaan kerana masalah itu.
“Bila nak cari kerja tu dugaan amat mencabar. Saya pernah mohon kerja bahagian perkhidmatan pelanggan atau pembantu sambilan kedai aksesori tapi kena reject kerana majikan menitik beratkan keadaan fizikal.
“Insiden itu berlaku sekitar November tahun lalu. Mungkin mereka takut pelanggan akan pelik atau takut apabila berurusan dengan orang seperti saya. Saya pernah down dan asyik menangis apabila memikirkan nasib saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menurut gadis kelahiran Melaka ini, dia dilahirkan dengan 10 jari tetapi bentuk ibu jarinya agak besar jika dibandingkan dengan orang lain.
“Jari saya dari jari anak sampai telunjuk kuku gelas. Bila dekat ibu jari jadi kuku cawan tapi tulang dia besar.
“Sekali tengok bentuk macam ibu jari kaki. Saiz agak besar sikit daripada yang lain dan lebar lebih kurang 2.5 sentimeter,” katanya.
Jelas Yus Athiqah atau lebih mesra disapa Athiqah, keadaan itu menyebabkan dia sering diejek semasa di sekolah rendah dan menengah.
Jari Yus Athiqah Yusri.
“Ada yang tanya jari cacat ke… ada yang cakap jari besar ibu jari kaki. Ada juga yang cakap saya OKU (Orang Kelainan Upaya).
“Kadang-kadang seganlah dengan ejekan kawan-kawan. Mungkin benda tu pelik sebab tak pernah berlaku dalam kalangan keluarga atau orang terdekat mereka.
“Tapi bagi saya golongan macam saya ni pun manusia normal, tak ada siapa pun minta diejek atau diherdik,” katanya.
Menurut Athiqah, dia tidak melihat kekurangan itu sebagai penghalang untuk berjaya.
“Saya anggap ia satu kelebihan yang Allah beri kepada saya. Alhamdulillah lepas kena reject saya dapat tawaran kerja lebih baik.
“Saya kini lebih yakin. Saya mahu buktikan saya juga boleh lakukan kerja macam orang lain juga. Saya juga anggap segala ejekan itu sebagai semangat untuk berjaya,” katanya yang bekerja sebagai kerani di bahagian Sumber Manusia.
Jelas anak kedua daripada empat beradik itu, dia bernasib baik kerana memiliki 10 jari yang jika dilihat sekali imbas bentuknya kelihatan normal.
“Alhamdulillah saya masih ada 10 jari. Bentuk di kedua-dua belah seakan-akan sama. Bila nak menulis orang takkan perasaan.
“Tapi bila menaip atau masa buat pembentangan kalau tengok betul-betul orang akan perasaan,” katanya yang mempunyai datuk dan sepupu yang mengalami masalah sama.
Dalam pada itu, Athiqah mengakui ibu jari tersebut mempunyai kelebihan tersendiri.
“Mungkin ini kelebihan saya. Saya boleh pegang plastik berat walaupun hanya guna satu jari. Ini kerana permukaan jari agak lebar dah saya boleh pegang barang dengan betul,” katanya.
12 jari tangan dan kaki
Sementara itu, perkongsian Dhiva Caezara mengenai kisah dirinya yang memiliki masing-masing enam jari kaki dan tangan di Twitter turut menjadi tular di media sosial.
Menurut gadis kelahiran Semarang, Indonesia itu ramai bertanya kepada dirinya sama ada keadaan jarinya itu disunting menggunakan aplikasi tertentu.
“Mereka minta saya tunjuk gambar yang lebih jelas mengenai jari tangan dan jari kaki saya. Jadi ini dia 12 jari dan 12 jari kaki saya,” tulisnya di Twitter.
Posting gadis berusia 21 tahun itu menjadi tular dan diulang kicau lebih 7,000 kali dan mendapat kira-kira 6,034 tanda suka.
Posting tersebut turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang mempunyai masalah sama seperti Dhiva.
Kebanyakan mereka tampil memuat naik gambar jari luar biasa yang mereka miliki.
Dhiva ketika dihubungi berkata jari keenamnya itu berfungsi sama seperti jari yang lain.
“Walaupun ada jari keenam saya rasa normal. Ia ada tulang, saraf dan kuku juga tumbuh macam biasa.
“Masalah ini dikenali sebagai polidaktili. Saya mewarisinya daripada ibu saudara saya yang turut mengalami masalah sama,” katanya.
Jelas Dhiva dia pernah diejek sejak kecil sehingga menyebabkannya hilang keyakinan diri.
“Saya ambil masa yang lama untuk bina semula keyakinan diri dengan keadaan saya. Namun lama kelamaan semakin yakin dengan keistimewaan ini.
“Apa yang penting kawan perlu menerima anda seadanya. Anda perlu yakin bahawa penampilan fizikal tidak menentukan kualiti seseorang.
“Apa yang ada di fikiran dan hati kita lebih penting. Oleh itu saya amat yakin dengan keenam-enam jari saya,” katanya.
sumber: Mstar