Tak Payah Marah-Marah Lagi, Ibu Bapa Boleh Cuba Cara Psikologi Ini Untuk ‘Denda’ Anak

Posted on

Memang tidak mudah untuk mendidik anak, tambah-tambah pula dengan sikap anak kecil yang tidak mendengar kata dan suka melawan menyebabkan ibubapa mudah hilang kesabaran dan naik ‘hantu’.

Tak elok juga jika sering marah dan memukul anak kerana perkara itu boleh menjejaskan perkembangan emosi mereka. Apa kata ibubapa diluar sana ikuti kaedah ‘psikologi’ yang dilakukan oleh Nazia Suhaimi, seorang ibu muda yang tegas dalam mendidik anak-anak supaya mereka dapat membesar untuk faham.

Orang kata jangan upload gambar anak-anak kena denda dekat medsos, nanti kasihan pada anak. Tapi percayalah, saya bukan suka-suka nak up. Ada kisah di sebalik gambar ini.

Masa saya balik kampung, saya berbual dengan sepupu saya. Saya mengeluh, saya cakap saya selalu pukul anak-anak bila marah. Dalam keadaan marah tu, sukar nak kawal sebab saya baran. Kalau dah naik angin, tangan pun sama naik.

Sepupu saya tegur, dia cakap apa kata Nazia cuba denda anak berdiri menghadap dinding? Boleh mula seawal usia anak mula faham arahan. Saya tanya nak diri berapa lama? Jawabnya kalau;

2 tahun = 2 minit
3 tahun = 3 minit
4 tahun = 4 minit

Katanya lagi, anak-anak akan faham dia buat salah bila kita denda dia begitu.

Baik, saya cuba.

Lepas balik dari kampung, ada sekali tu Mawar buat perangai lagi. Saya dah nak marah sangat dah ni, rasa baran tu dah datang tiba-tiba saya teringat kata-kata sepupu saya.

Terus saya tunjuk berdiri dekat dinding. Mula-mula Mawar tak nak, saya dah mula naik berang lagi (masa ni baran betul-betul tak dapat kawal) saya tarik Mawar berdiri menghadap dinding. Mawar menangis meraung.

Saya pekakkan telinga. Saya tengok jam, baik 2 minit. Jarum panjang mula bergerak menjalankan tugas.

Tik tok tik tok. Rasa lama sungguh.

Dalam masa 2 minit itu jugalah sebenarnya saya tertampar dengan diri sendiri. Rasa marah meluap-luap macam gunung berapi tadi mula beransur pergi.

Saya lihat Mawar masih lagi menangis.

Sedihnya..

Ya Allah.. Sedihnya tengok anak menangis. Sebelum ini aku selalu pukul Mawar. Aku tak peduli pun janji hati aku puas memukul tapi hari ni tengok ni Ya Allah.. Hari ni aku tak pukul anak..

Saya kesat air mata. Sudah cukup 2 minit.

“Mawar, meh sini” panggil saya yang duduk sedikit jauh dari Mawar. Saya mendepakan tangan.

“Mamiiiiiiii” Mawar teresak-esak berlari anak memeluk saya. Allah Allah.. Sedihnya Ya Allah.. Sayang anak yang ini.

“Mawar tahu kenapa mami denda?” nada suara saya mula lembut. Mawar menggeleng sambil lap air mata.

“Sebab tadi Kakak dah buat salah. Kakak tak boleh buat macam tu” (sambil tunjuk kesalahan itu.)

“Nahh, kalau Kakak buat lagi, mami denda lagi ya. Denda diri dekat dinding lagi.”

Mawar mengangguk perlahan. Esakan tadi mula kendur. Kepalanya masih tunduk takut nak memandang saya.

“Mawar..”

“Sayang Kakak..” terus saya merangkul tubuh kecil ini.

“Mami minta maaf sebab selalu marah-marah..” air mata saya menitis lagi.

Bahasa badan Mawar mula lembut. Agaknya sebelum ini memang takut benar dia dengan saya. Itulah kali pertama saya denda Mawar cara hadap dinding.

Mula-mula saya tak percaya, akhirnya saya faham;

1. Selepas beberapa kali saya denda cara begini, selepas tempoh denda saya terangkan pada anak-anak apa kesalahan mereka jadi mereka lebih faham apa yang kita larang.

2. Anak-anak akan mula menangis dan meraung pada permulaan metod ini, lama-lama mereka faham, bila buat salah mereka sendiri berdiri menghadap dinding.

3. Tempoh denda anak tadi juga tempoh untuk kita sebagai ibu bapa reflects kesalahan diri. Juga tempoh untuk kita bertenang.

4. Bila kita sudah bertenang, kita lebih rasional untuk bercakap dengan anak-anak.

5. Marah-marah sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.

Akhirnya, baru saya sedar. Kalau saya marah-marah, anak-anak tak dapat mesej apa yang saya nak sampaikan.

Bila mesej tak sampai, anak-anak akan buat lagi kesalahan yang sama. Bila buat lagi, kita marah lagi. Sudahnya, kita tak berganjak dari circle yang sama.

Terima kasih sepupu, saya mula bergerak mencari ilmu parenting dari titik peristiwa ini.

Ini gambar masa Mawar Muawwiz bergaduh time saya solat. Lepas solat semua kena denda. Selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.