‘Team’ Hospital Sungai Buloh gadai nyawa, hadap pesakit coronavirus demi negara | Tiga pelancong warga China yang telah disahkan positif wabak coronavirus, semalam kini dikuarantin dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Namun, bagi kakitangan perubatan hospital tersebut, pastinya mereka sudah mempersiapkan diri untuk berdepan dengan wabak virus berbahaya yang kini telah mengorbankan seramai 54 orang.
Seorang jururawat yang dikenali sebagai Bel Nawhen berkongsi bahawa rakan-rakannya yang terdiri daripada doktor, jururawat dan pegawai perubatan bersiap sedia bagi menghalang virus tersebut.
“Rakan doktor saya, rakan jururawat saya, rakan PP[ saya, rakan PPK, rakan PPKP saya serta rakan MLT saya semua sedang bersiap siaga menyaring serta mengekang rebakan coronavirus dari berlaku,” tulisnya di Facebook.
Bukan itu sahaja, mereka juga sanggup bergadai nyawa bagi menghadapi cabaran merawat pesakit walaupun tahu risikonya boleh membawa maut.
“Ya, mereka yang anda sering viralkan, mereka yang sering anda tuduh makan gaji buta, mereka yang tidak habis-habis anda perkecilkan itu yang akan mula-mula berdepan dengan virus ini.
“Masih lagi rasa mereka ini tidak ada gunanya di mata anda?,” katanya dengan memuat naik beberapa keping gambar ‘team’ perubatan.
Posting berkenaan tular dengan mendapat 5,400 perkongsian dan 8,100 tanda suka serta pelbagai komen netizen yang rata-rata mendoakan agar kakitangan perubatan HSB memperoleh kekuatan dan dilindungi Allah SWT.