Kerajaan Turki dilaporkan telah menukar status Hagia Shopia, yang sebelum ini dijadikan sebagai muzium kepada masjid semula, lapor media antarabangsa semalam.
Berita penukaran status salah satu bangunan ikonik bersejarah di negara itu diumumkan oleh Presiden Turki sendiri, Recep Tayyep Erdogan.
Hagia Sophia dibina sebagai sebuah katedral kira-kira 1,500 tahun yang lalu ketika pemerintahan empayar Byzantine di Constantinople, yang hari ini dikenali sebagai Istanbul.
Kawalan ke atas Hagia Sophia kemudian diambil alih oleh Empayar Uthmaniah yang menakluk Constantinople dan ditukar kepada masjid pada 1453.
Pada 1934, status Hagia Sophia ditukar sekali lagi menjadi muzium dan merupakan salah satu Tapak Warisan UNESCO.
Menurut Erdogan, solat pertama akan dianjurkan pada 24 Julai ini.
”Seperti masjid-masjid lain yang ada di Turki, Masjid Hagia Sophia terbuka kepada semua warga tempatan dan pelancong asing, Muslim dan bukan Muslim,” katanya.
Media antarabangsa juga melaporkan penukaran status Hagia Sophia mungkin menimbulkan bantahan daripada beberapa buah negara antaranya adalah Greece.