JOHOR BAHRU: Warga Singapura antara dua pengarah kilang tayar terpakai di Pasir Gudang, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melupuskan bahan buangan tercemar secara haram, di Sungai Kim Kim, 7 Mac lalu.
Turut didakwa pemandu lori syarikat berkenaan atas pertuduhan bertanggungjawab melupuskan buangan berkenaan di Sungai Kim Kim.
Tertuduh, Wang Jing Chao, 34, warga Singapura, dan Yap Yoke Liang, 36, yang juga pengarah kilang serta N Maridass, 35, pemandu lori kilang berkenaan, masing-masing bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan semua pertuduhan di hadapan Hakim Jailani Rahman.
Jing Chao dan Yoke Liang, dituduh bersubahat dengan N Maridass, untuk melepaskan buangan terjadual iaitu enap cemar berminyak di Sungai Kim Kim menggunakan treler tangki tanpa mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar antara jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, pada 7 Mac lalu.
Petang ini sebanyak 15 pertuduhan lagi membabitkan Jing Chao dan Yoke Liang dijangka dituduh petang ini.
Maridass, 35, pemandu lori kilang berkenaan pula dituduh atas satu pertuduhan iaitu didapati melupuskan buangan berjadual iaitu enap cemar berminyak di Sungai Kim Kim menggunakan treler tangki tanpa medapatkan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar antara jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000, jika sabit kesalahan.
Jailani menetapkan jaminan RM250,00 terhadap Yoke Liang, manakala N Maridass diarahkan jaminan sebanyak RM100,000, masing-masing dengan seorang penjamin dengan pasport Yoke Liang perlu diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun tiada jamiman dibenarkan ke atas Jing Chao yang juga warga Singapura itu.
Jing Chao dan Yoke Liang diwakili peguam, Subramanian Nair manakala N Maridass diwakili peguam, Rathakrisna. Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Asyraf Kamal.
Terdahulu, Jailani menegur Yoke Liang yang memakai penutup hidung dan mulut di dalam mahkamah.
“Dalam mahkamah tak ada kimia pun. Sila buka topeng kamu,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 April ini bagi sebutan semula kes.
Sebanyak 15 pertuduhan lagi membabitkan Jing Chao dan Yoke Liang dijangka dituduh petang ini.
VIDEO: