BAGAIKAN satu rahmat dan rezeki yang tidak dijangka buat penduduk Kampung Sungai Karang, Kuantan apabila lambakan pelbagai spesies ikan terutama ikan gelama membanjiri kawasan pesisir pantai kampung itu semalam.
Penduduk Abdul Hadi Muhammad, 58, berkata, lambakan pelbagai spesies ikan itu disedari mereka 7 pagi sebelum ada yang menangkap ikan itu menggunakan pukat.
Katanya, lambakan ikan itu di sepanjang pesisir Pantai Batu Hitam dan Pantai Sungai Karang menarik perhatian orang ramai dan penduduk yang berpusu membawa plastik untuk mengambil ikan itu.
“Seingat saya ini kejadian pertama banyak ikan terdampar di pesisir pantai secara mengejut. Ada nelayan yang guna bot dan pukat untuk tarik ikan ini ke darat.
“Orang kampung guna plastik ambil ikan ini untuk buat ikan kering dan memasak,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Karang hari ini.
Penduduk lain Siti Aminah Mamat, 49, berkata, dia dimaklumkan anak lelakinya jam 9 pagi sebelum bergegas ke kawasan pantai untuk mengambil ikan gelama.
“Ikan gelama sesuai dijadikan ikan kering dan saya tidak lepaskan peluang untuk ambil.
“Kejadian ini pertama kali berlaku di kawasan kampung ini.
“Saya tidak pasti ia disebabkan fenomena apa tapi ia ibarat rezeki kepada penduduk kampung,” katanya.
Siti Aminah mendakwa ada nelayan dan penduduk kampung mengambil ikan itu dalam jumlah besar sebelum dijual kepada peraih ikan.
Dia menganggarkan lebih dua tan ikan berjaya dipukat dan dibawa naik ke darat oleh penduduk kampung.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Azahari Othman berkata, lambakan ikan gelama di jajaran pantai di daerah itu adalah perkara biasa.
“Sebelum ini tak silap saya dalam tahun lalu ada juga lambakan ikan dalam skala besar di pesisir Pantai Balok. Ia perkara biasa dan tiada fenomena apa-apa,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu terjadi mungkin disebabkan peralihan habitat spesies ikan berkenaan yang menyusuri kawasan pesisir pantai.
(VIDEO) Lambakan ikan gelama di pesisir Pantai Batu Hitam bawa rezeki