(VIDEO) Surau Sabilul Huda Gempar Lagi : Kali Ini Dua Patung Berhala Ditinggalkan

Posted on

PELABUHAN KLANG: Penduduk Taman Pendamar Indah, di sini, sekali lagi gempar apabila dua patung berhala ditinggalkan di tembok kiri dan kanan bersebelahan pintu pagar Surau Sabilul Huda sebelum dijumpai seorang kariah, petang tadi.

Insiden itu mengulangi penemuan sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau berkenaan dipercayai antara jam 2.30 hingga 4.00 petang Rabu lalu.

Kejadian sebelum ini yang menggemparkan kariah surau yang sama

Dalam kejadian hari ini, patung berhala sebesar tapak tangan orang dewasa itu ditemui kariah yang datang untuk menghadiri kuliah agama di surau terbabit kira-kira jam 2.45 petang.

Suri rumah, Hasanah Ibrahim, 64, berkata terdahulu beliau dan tiga lagi kariah ke surau itu yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Bagaimanapun ketika menghampiri surau berkenaan, katanya, beliau terlihat dua objek terbabit.

“Apabila saya mendekati objek itu, saya terkejut mendapati ia adalah dua patung berhala sebesar tapak tangan lalu memberitahu tiga rakan lain.

“Kami kemudian masuk ke dalam surau dan memberitahu ahli jawatankuasa (AJK) surau itu. Mereka turut terkejut dengan kehadiran patung berhala terbabit,” katanya kepada pemberita.

Siak surau terbabit, Mohd Yatim Omar, 64, pula berkata pihaknya amat risau dengan penemuan itu dan berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap surau terbabit dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan segera supaya kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, ketika dihubungi mengesahkan penerimaan laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sehingga mencetuskan pergaduhan, sebaliknya menyerahkannya kepada siasatan pihak berkuasa.

Media hari ini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala di surau itu.

Beliau turut menyelar perbuatan terkutuk berbaur hasutan dan sangat provokatif yang berniat jahat untuk menghina Islam serta menjejaskan keharmonian kaum dan agama itu, selain berkata tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak terbabit.

(VIDEO) LAGI DUA BERHALA DITINGGALKAN DI SURAU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.