(VIDEO) “Warkah Buat Abi” : Nukilan Rindu Anak Ustaz Norazli Taliban

Posted on

ABI (Allahyrham Norazli Musa) adalah insan luar biasa. Semangat serta kesungguhannya dalam dakwah dan perjuangannya sedikit pun tidak mengabaikan kami ahli keluarga. Makan minum kami, segala kelengkapan kami sentiasa diambil kira biarpun kadang kadang terpaksa keluar tiga empat hari ceramah sana sini atau mengikuti misi kemanusiaan sana sini.

“Pemergian Abi sangat tidak diduga. Kerana Abi langsung tidak menunjukkan tanda sakit atau kepenatan. Yang aku dapati senyum dan kegembiraan di wajahnya sepanjang berada di sini,” kata Ahmad Syakir Norazli.

Beliau membuat catatan itu di Facebook selepas bapanya selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi’ Madinah, kelmarin.

Katanya, sehingga kini masih ramai berkongsi kisah mereka dengan arwah bapanya yang juga aktivis kemanusiaan dihormati kerana berjuang demi agama sepanjang hidupnya.

“Bukan saja dalam urusan agama, Abi sudah buktikan dengan imej serban dan janggut Abi mampu menyumbang jasa dalam sukan, dalam misi misi kemanusiaan. Demi Allah Tuhan pemegang nyawa, kami semua menjadi saksi atas kebaikan Abi.

“Menguruskan jenazah Abi menjadi saat paling berharga dan kritikal buat aku. Benar air mata ini sukar ditahan. Air mata rindu dan gembira bercampur baur turun sepanjang menguruskan susuk jenazah Abi. Rindu kerana tiada lagi susuk tubuh yang sentiasa memberi tunjuk.


FOTO : Syakir semasa pengebumian ayahandanya

“Gembira kerana Abi dijemput Allah di tempat kekasihNya, di tempat Baginda menjanji syafaat, dibangkitkan bersama kekasih Rasulullah SAW dan sahabat. Benarlah sabda nabi kita semua akan dibangkit dengan siapa kita sayang,” tulisnya di dalam catatan itu.

Sementara itu, keluarga Allahyrham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Mereka disambut Geng Ustaz dan kenalan lain yang masih terasa dengan pemergian Norazli atau lebih mesra dipanggil Ustaz Taliban kerana imejnya berjanggut panjang.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada 5.30 pagi waktu Malaysia atau 12.30 tengah malam waktu tempatan.

Dia bersama keluarga ke Madinah sejak 2 Mac lalu untuk mengerjakan umrah selain menghadiri konvokesyen anaknya di Universiti Madinah.

(VIDEO) DETIK SYAKIR MENGURUSKAN JENAAZAH AYAHANDANYA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.