Gejala susulan selepas seseorang individu sembuh daripada penyakit Covid-19 turut perlu diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan emosi, fizikal dan mental bekas pesakit.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya. Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, simptom tersebut dikenali sebagai Long Covid-19 yang boleh berlanjutan antara beberapa minggu hingga beberapa bulan pasca jangkitan koronavirus.
“Dalam hal ini pesakit berkemungkinan mengalami simptom seperti sakit badan serta lesu, lemah ingatan, kurang daya tumpuan selain ada yang tidak dapat melakukan aktiviti yang biasa dilakukan sebelum mendapat jangkitan Covid-19.
“Kajian mendapati bahawa gejala yang dialami adalah singkat bagi pesakit yang mengalami jangkitan kategori 1 dan 2 berbanding mereka yang berada dalam kategori yang lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, simptom seperti kesukaran untuk bernafas dan batuk berpanjangan perlu dirujuk kepada doktor dan sesetengah pesakit akan diberikan ubat untuk melegakan gejala yang dialami dan ada yang memerlukan pemeriksaan lanjut dan rawatan.
Tambahnya, ada dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang mengalami kesan psikologi seperti kemurungan, serangan panik serta Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) atau gangguan tekanan selepas trauma.
Katanya, kecelaruan emosi berpanjangan boleh berlaku selepas seseorang berhadapan dengan sesuatu tragedi termasuk mendapat jangkitan selain pandangan serong masyarakat, penyisihan serta pemulauan pesakit dan keluarga turut menambahkan beban emosi yang ditanggung.
“Nasihat saya dapatkan rawatan dan bantuan doktor untuk gejala-gejala seperti ini kerana sesetengah bekas pesakit memerlukan rawatan susulan supaya tidak menjejaskan lagi kesihatan mereka,” ujarnya.
Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Dr. Sareena Hanim Hamzah berkata, simptom kehilangan deria bau dan hilang selera makan boleh mengundang amalan pemakanan tidak seimbang dalam kalangan bekas pesakit Covid-19.
Beliau menasihati bekas pesakit supaya mengamalkan pemakanan pemulihan untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi bagi memenuhi keperluan dan mengembalikan tenaga serta meningkatkan sistem imun badan.
“Pengambilan air yang secukupnya melalui minuman dan makanan seperti sup dan bubur serta kuantiti makanan yang diambil perlu mengikut piramid makanan dan sukatan pinggan sihat iaitu suku suku separuh meliputi pelbagai jenis makanan.
“Elakkan makanan tinggi kandungan gula, garam, lemak selain makanan proses dan amalkan memasak makanan di rumah menggunakan bahan-bahan segar,” ujarnya.
Menurutnya, pada peringkat permulaan bekas pesakit dinasihati melakukan senaman kekuatan serta regangan yang ringan secara berperingkat di samping sentiasa memantau perubahan yang menyebabkan rasa tidak selesa seperti pening kepala, sakit dada dan sebagainya.
Beliau turut mengingatkan bekas pesakit supaya tidak memaksa diri untuk kembali pulih seperti sedia kala terutamanya bagi mereka yang aktif sebelum dijangkiti dan mengelakkan daripada melakukan aktiviti intensiti tinggi dan latihan bebanan.
“Hadkan aktiviti senaman jenis aerobik seperti berjalan, berjoging dan berbasikal untuk meningkatkan sistem kardiovaskular dan respiratori.
“Sebaiknya dapatkan nasihat doktor perubatan dan ahli fisioterapi atau rehabilitasi untuk senaman yang sesuai kerana jenis senaman, intensiti dan jangka masa yang disyorkan adalah berbeza bagi pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 5,” jelasnya.
sumber: kosmo