Seiring dengan kemajuan teknologi, kanak-kanak masa kini turut melalui perubahan dari segi penggunaan bahasa, sama ada di rumah mahupun di sekolah. Namun, trend terkini menyaksikan peningkatan pengaruh media luar seperti drama dan video dari Indonesia yang semakin mempengaruhi budaya serta bahasa dalam kalangan pelajar sekolah tempatan.
Walaupun tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada kandungan luar, namun tontonan tanpa kawalan serta kurang pemahaman terhadap penggunaan bahasa yang betul dikhuatiri menyebabkan kekeliruan dalam kalangan generasi muda hari ini.
Perkara ini turut dikongsi oleh seorang guru menerusi akaun Facebook @Cikgu Gja, yang mendedahkan bahawa ramai dalam kalangan pelajarnya kini lebih banyak menggunakan gaya bahasa Indonesia berbanding bahasa Melayu standard ketika menulis karangan.
Menurutnya, pengaruh daripada drama sinetron Indonesia jelas dapat dilihat apabila pelajar-pelajar menggunakan istilah seperti “merencanakan”, “rumah sakit” dan “teman” secara meluas.
Tambahnya, kebanyakan pelajar menulis berdasarkan apa yang mereka tonton, menyebabkan karangan dipenuhi perkataan asing seperti “berencana”, “teman-teman” dan “rumah sakit”.
Perkongsian itu mendapat reaksi daripada ramai warga pendidik yang turut berkongsi pengalaman serupa di sekolah masing-masing. Mereka menyifatkan penggunaan bahasa Indonesia dalam kalangan pelajar seolah-olah menjadi trend terkini.
Isu ini turut dilihat sebagai satu cabaran besar dalam sektor pendidikan kerana pelajar kini dilihat kurang mampu menghasilkan karangan yang baik dan berkualiti dalam bahasa kebangsaan.