Sinar Harian hari ini melaporkan yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Difahamkan siasatan kes rasuah agensi kerajaan tersebut melibatkan nilai hampir RM3 juta.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam baki ketika dihubungi berkata, Bung Moktar ditahan bersama isteri, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad.
“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Bung Moktar dan isterinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2019. Bung Moktar dan Zizie bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009”
“SPRM telah menahan Bung Moktar pada pukul 10.50 pagi di SPRM Sabah manakala Zizie ditahan di SPRM Putrajaya pada pukul 11.15 pagi selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Felcra. Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya kepada Sinar Harian.
Bung Moktar merupakan bekas Pengerusi Felcra sebelum melepaskan jawatan tersebut pada Mei 2018.