“SAYA tidak boleh tidur malam apabila mengenangkan keadaan anak yang ditutup mulut dengan kain dan ditampar serta disepak berulang kali oleh beberapa pelajar senior.
“Andai sesuatu buruk terjadi kepadanya pada malam kejadian, saya tidak akan maafkan mereka,” kata penyanyi Ani Maiyuni mengenai insiden yang menimpa anak sulungnya, Wirda Viviana Zairi, 14, di asrama sebuah sekolah di Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu.
Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 41, ketika dihubungi tidak dapat menahan sebak apabila menceritakan semula keadaan anak perempuannya yang didera sekumpulan pelajar gara-gara enggan menceritakan kisah peribadi selepas bertemu ibu bapa saudaranya di sekolah berkenaan.
Katanya, pada 3 Mac lalu dia dibenarkan membawa anak keluar dari asrama dan ke dobi bersama, namun anaknya seakan menyembunyikan sesuatu daripadanya apabila banyak mendiamkan diri.
“Selepas beberapa kali memujuk berkongsi masalah yang dihadapi, barulah dia buka mulut. Dia memberitahu ada lapan pelajar senior mahu mengetahui mengapa ibu dan bapa saudaranya datang ke sekolah.
“Apabila dia enggan bercerita, pelajar senior itu mengugut mahu memukulnya. Takut dengan ugutan itu dia pun bercerita tetapi pelajar senior itu masih tidak berpuas hati dan mempercayainya. Mereka menendang dan menumbuk pinggang anak saya, menampar muka serta pukul dada.
“Luluh hati saya ketika melihat badan anak penuh dengan kesan lebam. Tergamak mereka buat begitu hanya kerana tidak puas hati,” katanya.
Menurutnya, lebih memilukan hati apabila mulut anaknya ditutup dengan kain bagi mengelakkan warden mendengar jeritannya.
“Apabila Wirda menangis kesakitan, mereka menutup mulutnya dengan kain. Sebagai ibu, saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan dia ketika itu.
“Saya sudah buat laporan di Balai Polis Setapak dan mendapatkan laporan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu. Doktor mengesahkan ada lebam di badan dan pinggangnya cedera.
“Sebenarnya anak saya dibuli sejak tingkatan satu lagi tetapi tidak seteruk ini. Kali ini, saya tak boleh berdiam diri. Laporan polis perlu dibuat demi keselamatan anak yang kini trauma,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber : Harian Metro & KLVIRAL