Baru-baru ini kecoh mengenai penyanyi rap ahli kumpulan K-Clique iaitu MK yang memakai barangan kemas. MK berkata dia tahu bahawa tindakannya itu salah di sisi Islam namun ianya tidak menjadi penghalang untuk meminati perhiasan berkenaan.
Perkara itu turut mendapat perhatian penyanyi rap, Caprice yang tampil berkongsikan pengalamannya dan barangan kemas merupakan elemen dalam budaya hip hop. Malah, dia hanya sedar mengenai hukum lelaki memakai barang kemas selepas pulang dari Umrah.
“Caprice sangat faham dengan dunia hip hop ni sebab pernah melalui jalan yang sama. Abang baru saja ‘cuci tangan’ saya terpaksa ambil masa 10 tahun untuk buka rantai dan jam emas Rolex.
“Selepas Umrah baru saya buka rantai, saya tahu ia haram, semua orang cakap ia haram tapi saya tak pernah dengar,” katanya.
Dalam pada itu, Caprice berkata meskipun dia sudah sedar di atas kesilapannya itu tidak bermakna dia boleh memaksa anggota kumpulan K-Clique itu untuk berubah serta merta. Malah, Caprie berkata dia turut memberi masa kepada MK untuk menjadi lebih baik.
“Sebagai abang saya selalu bersama dan akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk menasihati mereka. Sebagai seorang yang dah ‘cuci tangan’ tak bermakna saya kena paksa adik. Kita tak boleh langgar hukum dalam Islam.
“Saya tahu tanggungjawab untuk beri nasihat, sekurang-kurangnya saya perlu beri dia tempoh lima tahun untuk dia jadi lebih baik,” ujarnya lagi.