Mangsa buli saman sekolah, tuntut ganti rugi lebih RM2 juta

Posted on

SEORANG pelajar mangsa buli pada Julai tahun lalu menyaman sekolahnya di Temerloh, Pahang dan ketua pengarah pendidikan kerana gagal memastikan keselamatan terhadap dirinya semasa di kawasan sekolah, lapor The Star.

Pelajar itu turut mendakwa mereka, yang dinamakan sebagai defendan kedua dan ketiga, gagal melaporkan kejadian dengan segera kepada ibu bapanya serta gagal pula mengambil tindakan wajar terhadap pelajar yang membulinya.

Dalam samannya, pelajar itu turut menamakan pembulinya, murid lelaki bekas rakan sekelasnya semasa di Tingkatan Tiga, sebagai defendan pertama. Saman itu juga menyertakan kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat.

Dalam saman yang dikemukakan melalui ibunya Zaiton Yusoff, pelajar itu menuntut ganti rugi keseluruhan lebih RM2 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, serta kos dan lain-lain.

Menurut Zaiton, saman itu bukan kerana duit tetapi demi keadilan untuk anaknya, yang katanya, berubah sejak kejadian hampir setahun lalu.

“Dia perlu berjumpa ahli psikiatri dan psikologi di hospital kerajaan setiap bulan dan diberikan ubat untuk membantunya menangani isu-isu emosinya,” kata Zaiton, seperti dipetik oleh The Star.

Anaknya, 16 tahun, mengalami kemurungan dan trauma walaupun sudah berpindah sekolah di Selangor. Zaiton juga dipetik berkata anaknya sekarang cenderung bersikap agresif dan enggan ke sekolah.

Dalam penyata tuntutan yang dipetik dalam laporan itu, pelajar itu menyebut beliau mengalami kecederaan pada dada, peha kiri, mata, lengan dan tengkuk, serta trauma.

Beliau mendakwa pada 11 Julai 2019, defendan pertama mengusik dan mengganggu di kawasan sekolah dan kemudian di dalam kelas.

Dia juga mendakwa murid lelaki itu kemudian menampar badannya dan menarik tudungnya, sebelum menyerang beberapa bahagian tubuhnya yang lain.

Susulan kejadian itu, katanya, beliau terpaksa dimasukkan ke wad psikiatri untuk pemerhatian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.